
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, permit kerja mereka yang sudah tamat tempoh mungkin dihantar pulang ke Korea Utara.
“Masih ada lebih 300 warga Korea Utara tinggal di Malaysia,” katanya di luar Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.
“Ada yang bekerja di Sarawak, tetapi permit kerja mereka sudah tamat tempoh dan saya akan buat keputusan hari ini, jika mereka perlu ditahan di sini atau dihantar balik ke Korea Utara.”
Zahid yang juga menteri dalam negeri berjanji akan membuat keputusan secara rasional.
“Insya Allah, ia akan memberi kesan terbaik, bukan sahaja dari segi hubungan diplomatik (antara Malaysia dan Korea Utara), tetapi juga dari aspek kemanusiaan.”
Hubungan Malaysia dan Korea Utara bertambah tegang minggu lalu selepas duta masing-masing diisytiharkan persona non grata (orang tidak diingini).
Langkah itu susulan ketegangan selama 3 minggu akibat kematian Kim Jong Nam, abang sebapa kepada diktator Korea Utara, Kim Jong Un, di Kuala Lumpur.
Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur enggan bekerjasama dengan polis Malaysia dalam siasatan kematian Jong Nam, dengan Pyongyang menolak dakwaan ia terbabit dalam serangan pada 13 Februari lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2).
Jong Nam diserang 2 wanita yang menyapu mukanya dengan sejenis cecair dikenal pasti sebagai agen saraf VX yang dikategorikan senjata pemusnah besar-besaran oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam mengesahkan mayat Jong Nam masih berada di Institusi Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur.
Zahid berkata, tiada permohonan rasmi dibuat keluarga Jong Nam dan jika ada, kerajaan akan mendapatkan kebenaran Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk menyerahkan mayatnya kepada mereka.
Dalam perkembangan berasingan, Zahid berkata, rundingan untuk 9 rakyat Malaysia yang terkandas di Korea Utara masih dijalankan.
“Keutamaan kami ialah keselamatan mereka.”
Sehingga kini, 9 rakyat Malaysia masih terkandas di Pyongyang selepas Korea Utara melarang semua warga Malaysia meninggalkan negara itu ketika hubungan diplomatik antara 2 negara tegang susulan kematian Jong Nam.
Pada mulanya, 11 warga Malaysia – 9 kakitangan kedutaan dan keluarga mereka serta 2 pekerja bantuan Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu – di Korea Utara, tetapi 2 pekerja terbabit dibenarkan keluar dan selamat tiba di Beijing, Khamis lalu.
Susulan itu, Malaysia bertindak balas dengan mengeluarkan arahan sama terhadap warga Korea Utara di sini.
Rakyat terkandas: Pertemuan rasmi Malaysia-Korea Utara akan ditetapkan