Debat RUU 355: Kanun Keseksaan unsur Kristian, umat Islam tiada pilihan

Second from left: Aidil Khalid, third from left Lukman Sheriff, Ambiga and Haris Ibrahim.
Second from left: Aidil Khalid, third from left Lukman Sheriff, Ambiga and Haris Ibrahim.

PETALING JAYA: Seorang ahli panel debat mengenai pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 mendakwa Kanun Keseksaan yang diguna pakai di Malaysia terdiri daripada unsur-unsur Kristian, namun umat Islam tidak pernah menjadikannya satu isu selama ini.

Sehubungan itu, peguam Aidil Khalid berkata, langkah meminda undang-undang sedia ada untuk meningkatkan hukuman mengikut ajaran Islam akan membolehkan umat Islam menerima pakai prinsip-prinsip moral mengikut agama mereka.

Beliau berkata demikian pada debat anjuran badan bukan kerajaan Bebas di PJ Live Arts di sini, malam tadi.

“Umat Islam di negara ini tertakluk kepada undang-undang sivil,” kata beliau semasa debat mengenai pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) sambil menambah, beliau tidak pernah mengadu mengenainya, terutama peruntukan yang terkandung dalam Kanun Keseksaan.

“Ini adalah undang-undang diimport dari India, yang diambil dari sistem undang-undang British. Ada yang berdasarkan prinsip moral dan prinsip Kristian.

“Orang Islam tidak pernah mengadu (mengenai undang-undang sivil),” kata beliau sambil menambah, walaupun pemakaian Perlembagaan Persekutuan dikenakan ke atas semua rakyat di Malaysia, undang-undang Syariah hanya untuk orang Islam.

“Dan, kita tidak mahu mengenakan ke atas orang bukan Islam,” kata beliau yang mengecam pihak yang menentangannya sedangkan ia hanya akan memberi kesan ke atas umat Islam.

Beliau berkata, sepatutnya tidak harus ada perasaan takut kerana pindaan disyorkan ini bukan kali pertama disaksikan di negara ini.

Beliau berkata, akta itu telah dipinda pada tahun 1984 selepas pertama kali digubal pada 1965. Ia dikuatkuasakan di Sabah dan Sarawak pada 1989.

“Bukan satu isu besar. Apa yang kita minta sekarang, semata-mata satu penambahbaikan (ke atas akta sedia ada).”

Dalam pada itu, seorang lagi ahli panel Lukman Sheriff berkata, pindaan dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan peranan Mahkamah Syariah dipertingkat di peringkat negeri.

“Pindaan dibuat di Dewan Rakyat. Undang-undang ini hanya untuk orang Islam. Berapa banyak orang bukan Islam pernah ditangkap kerana tidak berpuasa pada bulan Ramadan? Berapa banyak orang bukan Islam didapati bersalah kerana tidak pergi solat Jumaat?

“Ia tidak akan digunakan ke atas bukan Islam kerana Perlembagaan memberi perlindungan (kepada mereka).”

Aktivis Haris Ibrahim berkata, beliau menentang pindaan kerana ia akan menyebabkan Malaysia beralih daripada menjadi sebuah negara sekular.

Haris memberi contoh tiga kesalahan yang berkaitan dengan Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, yang menurutnya tidak bersandarkan prinsip Islam.

Beliau berkata, kesalahan di bawah Seksyen 12 menyatakan bahawa mana-mana orang yang mengembang atau menyebarkan apa-apa pendapat tentang ajaran Islam, undang-undang Islam atau mengenai apa-apa fatwa, dianggap telah melakukan kesalahan.

Sambil menegaskan beliau telah membaca karya-karya abad kelapan ahli undang-undang Islam Iman Al Shafie, beliau berkata: “Pada masa itu, terdapat hujah-hujah balas, ada pendapat.”

“Tetapi apa yang undang-undang ini (akta Wilayah Persekutuan) berkata, jika sesiapa mempunyai pandangan bercanggah dengan fatwa, anda sebagai orang Islam tidak dibenar untuk mempunyai pendapat anda sendiri. Pendek kata, ia berkata, jangan fikir.”

Haris berkata, kesalahan-kesalahan lain seperti tidak menunaikan solat Jumaat di masjid selama tiga minggu berturut-turut dan tidak boleh makan atau minum di khalayak ramai semasa bulan Ramadan walaupun uzur.

Haris berkata, komuniti Kristian di Sabah tidak dibenar menggunakan kalimah Allah semasa pembaptisan sedangkan ia merupakan sebahagian daripada budaya mereka selama berabad-abad.

“Ia adalah sebahagian daripada usaha memperluaskan kuasa Mahkamah Syariah. Jika ini berterusan, ia akan memberi kesan kepada bukan Islam,” katanya sambil menambah, “ia sedang berlaku.”

Bersih yang bulan lalu menganjurkan perhimpunan membantah rang undang-undang persendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, telah menganjurkan debat ini malam tadi.

Pada 18 Februari lepas, Bebas mengadakan perhimpunan di Petaling Jaya sebagai tindak balas terhadap perhimpunan anjuran PAS yang berlangsung di Kuala Lumpur pada hari yang sama.

Pada bulan lalu, Bebas meminta semua wakil rakyat menolak usul rang undang-undang persendirian Hadi itu. Ia dijangka dibahaskan ketika sesi Parlimen yang sedang berlangsung sekarang.

Pada 24 November lalu, Hadi meminta Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan RUU 355 ke sidang Mac ini bagi membolehkan pindaan dilakukan terhadapnya rang undang-undang itu.

Antara pindaan dicadangkan ialah hukuman “penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan” berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.