
Ini berikutan kontroversi baru-baru ini selepas JPA pada mulanya menyatakan pelajar perlu mendapatkan +A dalam semua mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan SPM untuk dipertimbangkan dalam program biasiswa kerajaan.
Selepas mendapat rungutan orang ramai, JPA kembali kepada dasar asal di mana pelajar perlu mempunyai sekurang-kurangnya 9A+.
“JPA menawarkan 3 program biasiswa untuk pelajar SPM iaitu Program Penajaan Nasional (PPN), Program Penajaan 9A+ (P9A+) dan program khas untuk pelajar yang dipertimbangkan untuk belajar di luar negara seperti Jepun, Korea, Perancis dan Jerman (JKPJ).
“Walaupun JPA jelas terhadap keperluan akademik tetapi tidak pasti bagaimana pelajar dibahagikan ke dalam program biasiswa,” kata Timbalan Setiausaha Agung DAP P Ramasamy dalam satu kenyataan hari ini.
Merujuk kepada 3 program biasiswa yang ditawarkan JPA itu yang dinamakan sebagai Model Baharu Penajaan JPA 2017, Ramasamy berkata, terdapat beberapa kekeliruan dalam proses pemilihan.
“Berdasarkan kepada model baru ini, JPA akan memilih pelajar untuk program biasiswa berdasarkan merit dan ‘inklusif’.
“Walaupun kriteria merit tidak memerlukan penjelasan, tapi kita tidak pasti apa yang dimaksudkan dengan ‘inklusif’.
“Kita khuatir dengan memasukkan kriteria ‘inklusif’, JPA secara tidak sengaja mungkin memperkenalkan unsur subjektif,” kata beliau sambil menambah sebarang kriteria subjektif boleh membawa pemilihan pelajar oleh JPA secara sembarangan.
Timbalan ketua menteri Pulau Pinang meminta JPA mengkaji semula kriteria tersebut dan memberi penekanan kepada merit, terutamanya apabila ia melibatkan pelajar muda yang baru sahaja tamat sekolah.