Media dilarang berada di lobi, wakil rakyat terkejut larangan baharu

pandikar_repoter_600

KUALA LUMPUR: Media terpinga-pinga apabila Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandir Amin Mulia hari ini melarang media tempatan berada di lobi blok utama Parlimen, ruang biasa pengamal menanti untuk mendapatkan reaksi ahli politik mengenai isu semasa dan berkepentingan.

Sidang media Ahli Parlimen Datuk Raja Bahrin Shah Raja Ahmad (Amanah-Kuala Terengganu) yang sedang berlangsung ketika arahan diturunkan terpaksa dihentikan tiba-tiba dan polis mengarahkan pengamal media beredar dari ruang legar.

“Kerajaan sedang menyekat kebebasan media dan menekan mereka. Ini sangat tidak patut,” kata Raja Bahrin kepada pemberita selepas kejadian.

Sidang Dewan Rakyat kali ini dijangka panas dengan usul kontroversi seperti rang undang-undang Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Semalam, Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani bertikam lidah dengan Ahli Parlimen Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) berhubung perkembangan terkini siasatan kerajaan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan suspek mereka.

Kompleks Parlimen sudah menjalani pengubahsuaian besar-besaran, yang dilaksanakan secara berperingkat pada Ogos 2014. Aksi berlaku di tingkat 1 bahagian depan blok utama yang menempatkan Dewan Rakyat.

Bilik media terletak di bahagian belakang blok utama – pengamal media mengambil masa beberapa minit untuk ke Dewan Rakyat. Bilik sidang media wakil rakyat kerajaan terletak berhampiran Dewan Rakyat, manakala wakil rakyat pembangkang perlu merentasi blok utama ke bilik media.

Sebelum ini, wakil rakyat akan mengadakan sidang media atau ditemui pengamal media di lobi berdepan pintu utama dewan sidang.

“Nampaknya kerajaan menyusahkan kita untuk beri kenyataan. Sudahlah tempatnya jauh, malah setiap agensi media hanya dibenarkan 3 orang sahaja masuk,” kata Raja Bahrin.

“Bagaimana 3 orang itu hendak berkejar di bawah, depan dan tepi Parlimen?” tambahnya.

Mesyuarat pertama bagi penggal ke-5 Parlimen ke-13 akan berlangsung selama sebulan mulai 6 Mac hingga 6 April.