
Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu berkata orang tengah ibarat “pembawa dokumen” yang mengambil kesempatan daripada “sistem yang cacat”.
Beliau berkata demikian selepas Ketua Pengarah Imigresen Mustafar Ali 13 Februari lalu mengumumkan pekerja asing tanpa izin boleh mendaftar untuk mendapatkan kad sementara yang dikenali sebagai Kad Penguatkuasaan (E-Kad).
Mustafar berkata proses pendaftaran E-Kad yang akan dilakukan pada 15 Februari hingga 30 Jun nanti adalah percuma dan kad akan diberikan kepada pekerja dalam tempoh 2 hari selepas permohonan.
Beliau juga memberi amaran kepada majikan supaya tidak menggunakan orang tengah atau ejen.
Steven di Parlimen 20 Mac lalu terkejut apabila mengetahui ada penglibatan orang tengah dalam proses pendaftaran itu.
“Bukan 1, tapi 3 super ejen yang majikan/pekerja asing perlu lalui sebelum memohon E-kad percuma dari imigresen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Steven berkata, kad “percuma” hanya akan dikeluarkan selepas bayaran sehingga RM800 bagi setiap pekerja dibuat kepada salah seorang “super ejen” itu.
Beliau berkata kos lain juga akan dikenakan apabila kad diterima.
Steven diberitahu di Parlimen mengenai 3 syarikat dilantik kerajaan untuk melakukan proses pengambilan pekerja iaitu Iman Sdn Bhd, MyEG Bhd dan Bukit Megah Sdn Bhd.
“Dalam erti kata lain, ia masih berjalan seperti biasa di imigresen: super ejen yang rapat mengaut keuntungan lumayan sebagai pembawa dokumen,” katanya.
Membidas program E-Kad itu sebagai “lapisan birokrasi berlebihan”, Steven berkata, ia beri tanggapan yang salah terhadap reformasi yang dilakukan.
“Kenapa imigresen tidak mendaftar semula pekerja asing secara langsung sepertimana mereka mengeluarkan E-Kad secara langsung?
“Hanya kerajaan yang boleh meluluskan pekerja asing, orang tengah hanyalah pembawa dokumen yang mengambil kesempatan daripada kecacatan sistem untuk meraih keuntungan ratusan juga ringgit.”
Beliau berkata, menurut anggaran dari imigresen, sehingga 600,000 pekerja asing dijangka akan mendaftar. Secara kasar ini bererti hasil sebanyak RM500 juta untuk “super ejen” bagi tempoh 4 bulan bekerja sahaja.
Sedangkan, katanya, super ejen memiliki hampir RM1 bilion dalam bentuk levi, caj dan fi yang kena dibayar kepada kerajaan.