Penempatan haram serba lengkap di kebun sawit Setia Alam diserbu

Penempatan haram serba lengkap di kebun sawit Setia Alam diserbu

Imigresen menahan 214 pendatang asing tanpa izin dalam Ops Mega di tiga lokasi.

Khairrul Aminus Kamaruddin mengetuai operasi serbuan di penempatan haram warga asing di Setia Alam, malam tadi.
SHAH ALAM:
Sebuah penempatan haram yang lengkap dengan bekalan elektrik, air dan kedai di kawasan kebun sawit berhampiran Persiaran Setia Makmur, Setia Alam, terbongkar dalam Ops Bersepadu Mega awal pagi tadi.

Dalam operasi dari 8.30 malam hingga 2 pagi itu, Imigresen Malaysia memeriksa 356 warga asing di tiga lokasi penempatan dan menahan 214 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh, India serta Pakistan.

Pengarah Imigresen Selangor Khairrul Aminus Kamaruddin berkata hasil risikan selama kira-kira sebulan mendapati penempatan itu sudah lama wujud dan berfungsi seperti sebuah perkampungan kecil.

“Daripada risikan yang dijalankan, kami dapati kawasan ini memang sudah lama wujud.

“Ia seperti sebuah perkampungan dilengkapi kemudahan asas seperti air dan elektrik,” katanya pada sidang media selepas operasi.

Menurutnya, sebahagian besar ditahan didapati tinggal melebihi tempoh dibenarkan, manakala sebilangan lagi langsung tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Beliau berkata kebanyakan warga asing terbabit bekerja sebagai pekerja pembersihan, buruh dan tenaga kerja di kawasan berhampiran.

“Ramai antara mereka tinggal lebih masa antara tiga hingga lima tahun, malah ada yang tidak mempunyai sebarang dokumen,” katanya.

Operasi itu melibatkan 303 anggota daripada pelbagai agensi, termasuk Imigresen, Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan polis.

Sementara itu, Penolong Pegawai Penguat Kuasa Kanan MBSA Zakaria Mat Piah berkata semakan lanjut akan dijalankan terhadap status tanah dan struktur di kawasan berkenaan.

Katanya, jika didapati tiada kelulusan, tindakan termasuk perobohan struktur serta kompaun terhadap pemilik tanah boleh diambil.

Semua tahanan berusia antara satu bulan hingga 80 tahun akan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.