Majlis Peguam: Hentikan segera semua hukuman mati

law_bar_600new

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam Malaysia menggesa kerajaan mengisytiharkan moratorium terhadap semua hukuman mati yang belum dilaksanakan.

Ia susulan keputusan Kabinet meminda Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi memasukkan fasal tambahan yang memberi kuasa budi bicara kepada mahkamah dalam menjatuhkan hukuman kepada pengedar dadah.

Presiden Majlis Peguam Malaysia, George Varughese berkata, kajian menunjukkan tiada bukti kukuh hukuman mati mempunyai nilai pencegahan, khasnya dari segi kesalahan dadah.

“Ia adalah bijak dan adil untuk memberi budi bicara itu kepada hakim bagi menentukan sama ada mahu menjatuhkan hukuman mati,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, menjelang pindaan itu, Majlis Peguam memperbaharui gesaannya kepada kerajaan untuk tidak melaksanakan hukuman mati demi kepentingan keadilan dan kesaksamaan.

“Ia hanya wajar apabila pembaharuan itu berkuat kuasa, ia diguna pakai secara retrospektif,” katanya.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said mengumumkan keputusan itu selepas pembentangan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali kepada Kabinet.

Katanya, beliau sudah mengarahkan peguam cara negara mempercepatkan penggubalan pindaan itu.

Varughese berkata, hukuman mati perlu dimansuhkan untuk semua jenayah.

“Majlis Peguam Malaysia menyeru kerajaan bertindak segera memansuhkan hukuman mati untuk semua jenayah dan menegakkan hak untuk hidup, yang mutlak, universal dan tidak terpisah.

“Terdapat juga peruntukan bagi mengenakan hukuman mati mandatori dalam Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan hukuman mati secara budi bicara di bawah Akta Penculikan 1961,” katanya.

Beliau berkata, pendirian Majlis Peguam terhadap hukuman mati ialah “hukuman yang melampau, dibenci dan tidak berperikemanusiaan” tanpa mengira jenayah dilakukan.

Varughese berkata, hakim kini dilarang mempertimbangkan faktor meringankan hukuman dan keadaan setiap kes sebelum menjatuhkan hukuman.

“Faktor meringankan hukuman boleh dimasukkan dan tidak terhad kepada umur pesalah, matlamat pemulihan, rekod jenayah lampau, peranan dalam kesalahan itu, keupayaan mental, pampasan dibuat, ketakutan kepada orang lain, penggunaan kekerasan, kemudaratan terhadap harta benda atau individu, dan tahap kerjasama dengan pihak berkuasa,” katanya.

Kabinet setuju kaji hukuman mati pesalah dadah, kata Azalina