DAP: Semua sama rata, tiada ‘abang’ dalam Pakatan Harapan

DAP: Semua sama rata, tiada ‘abang’ dalam Pakatan Harapan

Anthony Loke mengulas cadangan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya PPBM mengetuai Pakatan Harapan bagi memastikan ia berteraskan Melayu.

Anthony-Loke
KUALA LUMPUR: Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke memberi jaminan tiada parti pembangkang yang akan mendominasi parti lain dalam Pakatan Harapan.

Beliau berkata, semua parti mempunyai kedudukan sama rata dan setiap pendirian berkaitan mana-mana isu akan dibincangkan bersama.

“Dalam Pakatan Harapan tidak ada soal abang sulung atau pun adik bongsu, tak ada siapa yang lebih besar dalam Pakatan.

“Kami bukan BN 2.0. Dalam BN semua tahu parti paling dominan adalah Umno, kita tak berniat meniru pendekatan BN,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau mendakwa pendekatan sama rata itu yang menyebabkan Pakatan Rakyat mendapat sokongan pengundi dan ia akan diteruskan dalam Pakatan Harapan.

Beliau mengulas cadangan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin di sebuah ceramah di Perak Sabtu lalu, agar parti itu menjadi ketua dalam Pakatan Harapan.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, cadangan berkenaan bertujuan memastikan pakatan itu berteraskan Melayu dan mendapat sokongan pengundi Melayu pada pilihan raya umum akan datang.

Loke yang juga ahli Parlimen Seremban berkata, ia sekadar cadangan, bukannya desakan PPBM.

“Mereka hanya memberi cadangan. Kita juga ada (pandangan) sendiri dan bukan hanya mendengar (pandangan) PPBM sahaja,” katanya sambil menegaskan soal parti dominan bukan satu isu dalam pakatan pembangkang.

Pada 20 Mac lalu, Majlis Presiden Pakatan Harapan sebulat suara menerima permohonan PPBM menjadi anggota terbaru dan bersetuju perbincangan dalam kalangan 4 parti diadakan serta-merta bagi menyediakan manifesto secara kolektif dan mencipta logo baharu.

 

Muhyiddin syor Barisan Rakyat ganti Pakatan Harapan

PPBM kini ahli ke-4 Pakatan Harapan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.