Kes remaja Rohingya tiada dokumen sah ditangguh 6 April

Kes remaja Rohingya tiada dokumen sah ditangguh 6 April

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan pendakwa raya menangguhkan perbicaraan kes itu untuk membolehkan mereka memfailkan hujah bertulis.

Rohingya
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 6 April ini untuk membicarakan kes seorang remaja Rohingya ditahan lebih 3 bulan lalu kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Hakim Datuk Zulkifli Bakar membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pendakwa raya menangguhkan perbicaraan kes itu untuk membolehkan mereka memfailkan hujah bertulis.

Peguam keluarga tertuduh, Collin Arvind Andrew, berkata pihaknya yang bersedia meneruskan perbicaraan hari ini, turut bersetuju dengan permohonan pendakwa raya menangguhkan kes itu.

“Mahkamah juga menetapkan perbicaraan semula pada 6 April dan pendakwa perlu menyediakan hujah bertulis sebelum 3 April,” katanya kepada FMT.

Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan remaja itu dibebaskan dengan ikat jamin, dengan syarat dia diletakkan di bawah jagaan Yayasan Chow Kit – sebuah rumah perlindungan kanak-kanak bagi memastikan kebajikan remaja itu terjamin sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.

Pelarian Rohingya berusia 15 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah ketika ditahan di kawasan Balai Polis Dato Abu Bakar Baginda di Sepang, pada 11 Disember 2016.

Pada 28 Februari lalu, Mahkamah Majistert Sepang menolak permohonan ikat jamin remaja itu.

Dia kemudian memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi mengetepikan perintah tahanan itu mengikut Bahagian 4 Akta Kanak-kanak 2001 dan Artikel 22 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak.

Sementara itu, wakil Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Amir Abd Hadi berkata, remaja terbabit yang melarikan diri daripada pergolakan di Myanmar, tiba di Malaysia beberapa tahun lepas bersama abangnya untuk mencari pekerjaan.

Katanya, remaja itu sudah beberapa kali mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR), tetapi ditolak.

“Disebabkan permohonan ditolak beberapa kali, remaja tersebut membuat kad palsu sebelum ditahan polis hujung tahun lalu,” katanya kepada FMT.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.