
Beliau yang tiba bersama isteri Iza Karmila Ramli, 35 dan tiga anak mereka – Annur Zulaikha, 6; Aynur Zhafirah, 5 serta Ayscha Zinnirah, 3 dan empat lagi rakyat Malaysia, tidak putus-putus mengukir senyum ketika ditemui pemberita yang menunggu kepulangan 9 warga Malaysia dari negara itu sejak 2 pagi tadi.
“Saya sangat-sangat gembira kerana dapat kembali bersama anggota keluarga dan yang tersayang. Sekali lagi saya mahu berterima kasih kepada kerajaan Malaysia yang berusaha membawa kami pulang ke tanah air,” katanya yang ditemui selepas sambutan penuh emosi di kompleks itu.
Nor Azrin, 37, turut melahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam rundingan serta kedutaan Asean lain di Pyongyang yang banyak membantu dan menyokong mereka sepanjang tempoh itu.
“Kami menerima banyak sokongan terutama daripada kedutaan Asean seperti Indonesia, Laos, Vietnam dan Kemboja di Pyongyang.
“Kami menerima sokongan moral, logistik, bekalan makanan dan perubatan daripada mereka,” katanya.
Nor Azrin berkata sepanjang tempoh itu juga mereka tidak dihalang untuk keluar dari kedutaan.
“Kami tahu perkembangan semasa dan kami berusaha mengekalkan semangat yang tinggi,” katanya.
Sementara itu, Izlinda Ramli, 39, kakak sulung Iza Karmila berkata beliau sekeluarga tidak menyangka adiknya serta suami akan pulang ke tanah air pada awal pagi tadi.
“Kami sekeluarga terutamanya ibu kami tidak putus berdoa agar mereka pulang dengan selamat,” katanya menambah ibu mereka sering menangis kerana bimbangkan keselamatan Iza Karmila sekeluarga.”
Bagaimanapun katanya kebimbangan mereka sekeluarga berkurangan apabila Iza menyatakan keadaan mereka seperti biasa pada setiap kali berhubung menerusi aplikasi media sosial.
Menurut suri rumah itu ketiga-tiga anak Iza memberitahunya mereka tidak ingin kembali ke Pyongyang lagi.
“Itu ucapan pertama mereka kepada saya tadi,” katanya.
Izlinda turut melahirkan rasa kesyukuran dan terima kasih kepada kerajaan kerana berusaha sedaya upaya membawa pulang sembilan rakyat Malaysia dari negara berkenaan.
Ketegangan antara Malaysia dan Korea Utara tercetus berikutan pembunuhan Kim Jong Nam, abang pemimpin negara itu Kim Jong Un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Feb lepas.
Pergeseran diplomatik timbul apabila Duta Korea Utara Kang Chol membuat tuduhan tidak berasas terhadap Malaysia mengenai cara negara ini mengendalikan kes itu yang mengakibatkan Malaysia mengisytiharkan beliau sebagai “persona non grata” dan mengusirnya keluar. Kang Chol meninggalkan Kuala Lumpur pada 6 Mac.
Korea Utara bertindak balas dengan mengusir Duta Besar Malaysia di Pyongyang.
Pada 7 Mac, Pyongyang menghalang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu dan Kuala Lumpur mengambil tindakan sama ke atas warganegara Korea Utara yang berada di negara ini.
Semalam Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kesemua rakyat Malaysia yang dihalang daripada meninggalkan Korea Utara dibenarkan pulang ke tanah air.
Kesemua mereka berlepas dari Pyongyang pada 7.45 malam semalam waktu Malaysia dan tiba di Kuala Lumpur pukul 5.03 pagi tadi.
Selain Nor Azrin sekeluarga, 4 lagi rakyat Malaysia terbabit ialah Pembantu Peribadi kepada Duta Besar Noor Saaidah Jamaluddin, 29 dan suaminya Mohd Radzuan Othman, 29 serta bayi mereka Mohamad Radhiy yang berusia lapan bulan; dan Pembantu Tadbir S. Nirmala Malar Kodi, 45.