Universiti China tawar biasiswa 100% pelajar Bumiputera, India

Universiti China tawar biasiswa 100% pelajar Bumiputera, India

Universiti itu menawarkan kursus asas setahun bagi program seni dan sains sosial pada harga RM12,000.

xiamen-university-malaysia
KUALA LUMPUR: Universiti Xiamen Malaysia (XMUM) menawarkan bantuan khas untuk menarik pelajar Bumiputera dan India mengambil kursus asas dan ijazah di universiti itu bagi pengambilan 2017.

Profesor Madya (Kewartawanan) M. Krishnamoorthy berkata pelajar Bumiputera dan India yang mendapat 4A dan ke atas berpeluang mendapatkan biasiswa sehingga 100% dan mereka yang berdepan masalah kewangan juga boleh memohon bantuan tambahan.

Menurutnya kriteria sama iaitu 4A turut dikenakan kepada pelajar Cina yang mahu memohon biasiswa.

“Pengambilan seterusnya bagi kursus asas dan ijazah adalah pada 17 April, diikuti Ogos untuk kursus asas dan September bagi ijazah,” katanya.

Antara kursus yang ditawarkan di universiti itu adalah ijazah perakaunan, kewangan, perniagaan antarabangsa, kewartawanan, sains komputer, kejuruteraan perisian, teknologi media digital, kejuruteraan kimia dan bioteknologi marin.

Universiti itu menawarkan kursus asas selama setahun bagi program seni dan sains sosial pada harga RM12,000 dan kursus asas sains (RM13,000) dengan bahasa pengantarnya bahasa Inggeris kecuali bagi pengajian China dan perubatan tradisional China.

Sementara itu, ibu bapa dan pelajar dijemput menghadiri Hari Terbuka universiti itu, hujung minggu ini di kampusnya yang seluas 60.7 hektar di Sepang, berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut Krishnamoorthy, bayaran asrama kampus itu juga berpatutan iaitu RM340 sebulan dengan kemudahan WiFi percuma, bilik mandi di dalamnya serta penyaman udara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.