Polis tahan pemandu treler sebabkan 6 sekeluarga maut

Polis tahan pemandu treler sebabkan 6 sekeluarga maut

Pemandu itu pernah terlibat 2 kemalangan, ada 6 saman kerana tiada lesen, bawa kenderaan tanpa insurans, tiada cukai jalan serta bekas penagih dadah

treler-arrested
KUALA LUMPUR:
Polis menahan pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan di KM 403.3 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Tanjung Malim yang mengakibatkan 6 sekeluarga maut pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt R Supramaniam berkata pemandu berusia 27 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata hasil ujian saringan air kencing ke atas pemandu treler berkenaan didapati negatif.

“Polis turut melakukan ujian darah bagi mengesan dadah dan alkohol, keputusan akan diketahui selepas dihantar ke Jabatan Kimia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan turut mendapati pemandu berkenaan mempunyai 8 rekod lampau melibatkan kesalahan lalu lintas.

“Semakan mendapati pemandu ini mempunyai rekod lampau kesalahan iaitu 2 kali pernah terlibat dalam kemalangan selain pernah dikenakan 6 saman melibatkan kesalahan tiada lesen, membawa kenderaan tanpa insurans dan tiada cukai jalan,” katanya.

Supramaniam berkata hasil semakan melalui rekod jenayah pula mendapati pemandu terbabit pernah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.

Dalam kejadian 7.40 pagi tadi, Lam Wai Loon, 46, dan isterinya Wong Check Lee, 53, serta 2 anak lelaki mereka Lam Jie Yang, 19, dan Lam Jie Yong, 13, terbunuh di tempat kejadian.

Turut maut ialah bapa dan adik lelaki Lam, Lam Leong Choy, 76, dan Lam Wai Keat, 38.

Nahas berlaku apabila treler membawa muatan tanah yang menghala ke utara, dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum menghempap MPV jenis Ssangyong di laluan sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.