PAS mungkin tak tangguh lagi RUU 355 di Parlimen

PAS mungkin tak tangguh lagi RUU 355 di Parlimen

Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan RUU persendirian itu 2 kali, tetapi beliau sendiri yang menangguhkannya.

idris-ruu355
KUALA LUMPUR: PAS memberi gambaran tidak akan menangguhkan lagi pembentangan rang undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 di Dewan Rakyat.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad bagaimanapun berkata keputusan membahaskan RUU 355 masih terletak di bawah peraturan mesyuarat dan kuasa speaker Dewan Rakyat.

“Kita lihat Khamis nanti. Kita harap dapat bentangkannya agar kita dapat kemukakan hajat dan beri peluang kepada sesiapa (ahli Parlimen) berbahas,” katanya kepada FMT, hari ini.

Sebelum ini, RUU persendirian itu dibentangkan 2 kali oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat, namun ia ditangguhkan.

Hadi berkata penangguhan itu membolehkan pindaan dilakukan terhadap RUU 355 yang hanya akan didedahkan pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

Malah, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan turut memberi keyakinan usul itu akan dibahaskan memandangkan pindaan terhadap RUU berkenaan sudah dilakukan.

Beliau berkata pada kali ini PAS tidak lagi membuat sebarang pindaan terhadap usul berkenaan kerana ia sudah dilakukan pada sesi lalu.

Ketika ini, akta itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 3 tahun atau denda tidak kurang RM5,000 atau maksimum 6 sebatan kepada pesalah.

Hadi memohon untuk menggantikan hukuman itu dengan hukuman lebih keras iaitu penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan.

Hadi sendiri akan membentangkan usul berkenaan setelah Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan tidak akan mengambil alih untuk membawa RUU itu.

Keputusan Najib itu dilihat sebagai langkah menghancurkan harapan PAS untuk mendapatkan sokongan ahli Parlimen Islam parti pemerintah.

Sidang Dewan Rakyat Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-13 bagi tahun ini akan berakhir pada Khamis ini.

 

Hadi mohon RUU 355 ditangguh ke sidang tahun depan

PAS bentang RUU 355, pastikan hadir di Parlimen Khamis

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.