
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata BN pernah mempunyai sejarah berubah-ubah pendirian, termasuk janji memansuhkan Akta Hasutan yang masih belum ditunaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Najib kata hudud tidak sesuai untuk sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia, tapi sejak ‘berbaik-baik’ dengan PAS, dia enggan menegaskan kenyataan itu,” katanya.
Minggu lalu, Najib yang juga pengerusi BN mengumumkan kerajaan tidak akan mengambil alih rang undang-undang persendirian yang dibentangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk memperkenalkan hukuman lebih berat ke atas pesalah syariah.
RUU Hadi itu kini dijangka dibentangkan pada Khamis ini dengan perbahasan mengenainya ditangguhkan.
Guan Eng berkata ia menunjukkan sandiwara BN, dan mendakwa pembentangan RUU itu menunjukkan BN masih menyokongnya.
Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata BN masih mempunyai kuasa menentukan sama ada RUU itu diteruskan.
“BN masih boleh menentukan nasib RUU dengan membenarkan RUU 355 dibahaskan di Parlimen dan juga diluluskan, itu bukan keputusan speaker tapi BN,” kata Guan Eng, yang berkata Speaker dicalonkan BN “akan mengikut apa saja arahan BN”.