Pandikar: 9 tahun saya dengar wakil rakyat ‘bloody fool’

pandikarKUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini menyerang beberapa wakil rakyat yang menurutnya sering mengutarakan hujah “tidak masuk akal”, sehari selepas beliau dituduh cuba menutup bahas mengenai rang undang-undang yang dibentangkan PAS dengan menamatkan sesi Dewan Rakyat.

Pandikar berkata, tindakan beliau berlandaskan peraturan Dewan Rakyat.

“Jika saya tidak gunakan, saya terpaksa duduk selama 6 jam lagi dan bertahan dengan ahli Parlimen seperti Lim Kit Siang.

“Dia (Kit Siang) sudah menjadi pemimpin kepada parti-parti politik untuk masa yang lama tetapi tidak tahu peraturan Dewan Rakyat,” katanya hari ini.

Semalam, huru-hara tercetus di Dewan Rakyat apabila Pandikar tiba-tiba menangguhkan perbahasan usul yang dibentangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.

Pandikar menamatkan sesi Dewan Rakyat yang akan bersidang kembali pada Julai, dan menghentikan perbahasan sejurus Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan selesai ucapannya menjelaskan RUU itu.

Pandikar kemudian berkata beliau boleh dianggap “bloody fool” (bodoh) sekiranya tidak menggunakan kuasa yang ada pada beliau.

Susulan itu, Lim hari ini mempersoalkan siapa sebenarnya “bloody fool” kerana menyalah gunakan kuasanya semalam.

“Siapa ‘bloody fool’ sebenarnya berdasarkan episod menjijikkan di parlimen semalam? Pandikar, ahli Parlimen atau rakyat Malaysia keseluruhannya,” soal Lim.

Pagi tadi, Pandikar menyerang balik wakil rakyat yang mengutuknya.

“Jikalau tuduh saya ‘bloody fool’, maka hujah sesetengah mereka, selama 9 tahun saya jadi Speaker Dewan Rakyat, kebanyakannya adalah bloody fool,” katanya.

Pandikar berkata tidak mempunyai sebarang agenda politik, dan tuduhan perbahasan semalam dirancang terlebih awal adalah tidak benar.

“Mereka apabila berhujah didorong oleh agenda politik semata-mata. Saya tidak ada agenda politik, saya cuma perlu pastikan setiap persidangan berjalan lancar.

“Terpulang kepada sesiapa sahaja untuk hentam. Saya tidak peduli langsung, asalkan perjalanan Dewan Rakyat berjalan lancar,” katanya.

Siapa ‘bloody fool’, Pandikar terus dibidas ‘tutup’ bahas RUU Hadi

RUU 355: Pandikar dituduh ‘takut’ dan dipanggil ‘ayam’