Siapa ‘bloody fool’, Pandikar terus dibidas ‘tutup’ bahas RUU Hadi

Kit-Siang,-Salahuddin-Ayub,-Pandikar,-Dewan-Rakyat,-PAS,-ParlimenPETALING JAYA: Pemimpin Pakatan Harapan membidas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana cuba menutup perbincangan rang undang-undang (RUU) meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355, sebaik sahaja usul mengenainya dibentangkan presiden PAS semalam.

“Di mana lagi tempat yang terbaik dan mulia untuk suatu usul atau RUU dibahaskan?” soal Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub.

“Tidak kira sama ada isu seekor haiwan yang perlu dilindungi atau isu urusan agama yang dimuliakan, semestinya diberikan ruang yang saksama dan adil serta kebijaksanaan seorang speaker yang terhormat untuk mengendalikannya di dalam dewan yang mulia itu.”

Semalam, huru-hara tercetus di Dewan Rakyat apabila Pandikar tiba-tiba menangguhkan perbahasan usul yang dibentangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.

Pandikar menamatkan sesi Dewan Rakyat yang akan bersidang kembali pada Julai, dan menghentikan perbahasan sejurus Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan selesai ucapannya menjelaskan RUU itu.

Ia mencetuskan ketegangan apabila beberapa ahli Parlimen pembangkang terutama Khalid Samad (Amanah-Shah Alam) bangun berulang kali mempersoalkan tindakan Pandikar itu, sambil dijawab dengan teriakan oleh beberapa wakil rakyat Barisan Nasional.

Pandikar berkata beliau hanya menggunakan kuasanya sebagai seorang speaker.

“Apabila anda memiliki kuasa, anda berkuasa, apabila tidak gunakan kuasa, anda seorang yang bodoh, hari ini saya tidak mahu menjadi ‘bloody fool’ (bodoh)”.

Salahuddin berkata isu RUU 355 yang dibawa PAS kini terbukti suatu sandiwara.

“Begitulah hinanya satu RUU yang dikatakan memertabat bidang kuasa mahkamah diperlakukan dalam parlimen kita,” katanya.

“Maaf Tuan Speaker, sebenarnya Tuan telah diarahkan untuk mengunakan kuasa menangguhkan perbahasan semalam. Diarah menggunakan kuasa tanpa perhitungan yang wajar dari Tuan sendiri juga adalah persis tindakan ‘bloody fool’,” kata Salahuddin.

Sementara itu, pemimpin DAP Lim Kit Siang bertanya siapa yang sebenarnya “bloody fool” dengan menyalah gunakan kuasanya semalam.

Lim berkata “skrip” keseluruhan persidangan semalam sudah disediakan sejak awal.

“Adakah Hadi menggunakan Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak, atau Najib menggunakan Hadi?

“Siapa ‘bloody fool’ sebenarnya berdasarkan episod menjijikkan di parlimen semalam? Pandikar, ahli Parlimen atau rakyat Malaysia keseluruhannya,” soal Lim.

Lim berkata, memandangkan RUU Hadi semalam tidak dibahas, usul itu akan luput dan Hadi perlu memulakannya dari awal di Dewan Rakyat pada Julai nanti.

 

RUU 355: Pandikar dituduh ‘takut’ dan dipanggil ‘ayam’