SOP temu duga: Tiada lagi calon pramugari kena buka baju

aziz-kaprawiPETALING JAYA : Susulan dakwaan ada calon pramugari diarah menanggalkan baju ketika ditemu duga, Kementerian Pengangkutan hari ini berkata satu garis panduan proses temu duga pengambilan anak kapal syarikat penerbangan akan diperkenalkan.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi berkata garis panduan itu dijangka akan dikuatkuasakan dalam masa sebulan.

“Dalam konteks ini, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan mengemukakan satu cadangan garis panduan yang baru dalam masa 2 minggu.

“Dalam tempoh 2 minggu ini kita selesaikan dan kemudian dibawa ke kementerian untuk disahkan. Kita jangka dalam masa sebulan garis panduan temu duga itu akan dikuatkuasakan,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan Kesatuan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) yang mendesak garis panduan pemeriksaan tubuh secara seragam diperkenalkan bagi menangani dakwaan gangguan seksual dalam proses temu duga pramugari.

Minggu ini kecoh apabila calon temu duga pengambilan pramugari syarikat Malindo Air diminta menanggalkan pakaian semasa proses pemeriksaan badan.

Malindo Air bagaimanapun menafikan berlaku salah laku dalam proses itu dan berkata pihaknya mematuhi prosedur.

Terlebih dulu, Aziz hari ini mempengerusikan mesyuarat menangani dakwaan gangguan seksual dalam proses temu duga pramugari yang turut dihadiri wakil syarikat penerbangan Malindo Air, Malaysia Airlines (MAS), AirAsia dan pihak berkepentingan seperti DCA, bahagian udara serta Kementerian Sumber Manusia.

Aziz berkata antara yang dicadangkan dalam mesyuarat itu ialah pakaian khas seragam bagi calon temu duga.

“Calon ini perlu memakai pakaian khas yang disediakan syarikat penerbangan,” katanya.

Cadangan lain, katanya ialah setiap temu duga diwajibkan untuk dirakam.

“Temu duga ini akan dilaksanakan secara telus termasuklah cadangan untuk mewujudkan soalan yang seragam,” katanya.

Ketika ditanya mengapa baru sekarang hendak diperkenalkan garis panduan temu duga anak kapal, Aziz berkata ini kerana isu membabitkan calon pengambilan pramugari seperti itu tidak timbul sebelum ini.

“Tidak pernah berlaku isu ini. Sebelum ini syarikat penerbangan ada tatacara mereka sendiri dan ia tidak pernah menimbulkan isu. Jadi kerajaan tidak melihat ada masalah.

“Tetapi apabila kerajaan melihat ada permasalahan perkara ini, kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan tidak ada rakyat yang teraniaya,” katanya.

 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/06/mana-garis-panduan-kesan-parut-soal-nufam/