Aktivis hilang: Bersih mahu jumpa ketua polis negara

khalid

PETALING JAYA: Pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 meminta untuk mengadakan “mesyuarat tergempar” dengan ketua polis negara berhubung misteri kehilangan 5 individu baru-baru ini.

Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 merujuk aktivis ke-5 yang hilang – Peter Chong berkata, polis perlu bertindak pantas untuk mencari dan menyelamatkan beliau bersama 4 mangsa lain.

“Bersih amat terkejut dengan kehilangan aktivis ke-5 itu, Peter Chong.

“Sesungguhnya ini adalah hari yang amat menyedihkan bagi semua rakyat Malaysia. Kehilangan itu berlaku di negara kita dan hanya sedikit jaminan atau berita dari polis berhubung usaha mereka untuk mengesan kedudukan orang yang hilang ini.

“Bersih meminta satu mesyuarat tergempar dengan IGP (ketua polis negara) untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai tindakan polis untuk mencari orang yang hilang ini.”

FMT hari ini melaporkan kehilangan Peter dengan memetik anaknya, Darryl sebagai berkata, mereka tiada khabar berita mengenai ayahnya hampir 3 hari.

Peter ialah seorang aktivis yang pernah bekerja sebagai pembantu kepada Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa.

Beliau melalui catatan terakhir di Facebooknya pada 31 Mac lalu menulis “pengalaman pelik” didatangi orang asing yang memberi amaran kepadanya.

“Dia kata dia sokong apa saya lakukan, tapi ‘mahu hati-hati’…sekarang banyak orang tiba-tiba hilang. Mereka semua tahu mana orang tinggal.

“Saya tanya mereka itu siapa? Dia cuma kata, pandai-pandai la…jaga diri bos..dan pergi meninggalkan saya,” tulis Peter dalam status terakhir di Facebooknya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Sevan Doraisamy menyifatkan 5 kes orang hilang dalam tempoh 4 bulan sebagai keaiban negara.

“Sebarang kelewatan dalam misi mencari dan menyelamat orang hilang ini hanya akan meninggalkan titik hitam dalam keselamatan negara.

“Apabila kerajaan menyasarkan untuk menjadi sebuah negara maju, hak asasi manusia dan kebebasan sivil sepatutnya menjadi perkara paling penting.

“Jadi, apa yang berlaku sekarang adalah penyusutan kebebasan awam.

“Kegagalan pihak berkuasa dalam menyelesaikan kes ini dan membawa mereka pulang dengan selamat dalam masa terdekat, adalah kegagalan Kementerian Dalam Negeri, dan kegagalan kerajaan.”

Selain Peter, 4 individu lain yang dilaporkan hilang ialah Pastor Raymond Koh, Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth, serta aktivis di Perlis, Amri Che Mat. Pihak berkuasa masih tiada petunjuk di mana mereka atau siapa yang menculik mereka berlima.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/09/seorang-lagi-aktivis-hilang-sejak-rabu-lalu/