Hadi, Tuan Ibrahim menang 2 jawatan tertinggi PAS tanpa bertanding

Hadi, Tuan Ibrahim menang 2 jawatan tertinggi PAS tanpa bertanding

Terdapat 5 calon untuk jawatan naib presiden, termasuk 3 penyandang sebelum ini dan 40 orang dicalonkan untuk merebut 18 jawatan anggota Jawatankuasa PAS Pusat.

hadi-awang_tuan-ibrahim_pas_600
KUALA LUMPUR:
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menang tanpa bertanding selepas proses pencalonan bagi Muktamar ke-63 parti itu.

Hadi, 69, memegang jawatan presiden PAS sejak 2002 menggantikan Datuk Dr Fadzil Noor, manakala Tuan Ibrahim, 56, memegang jawatan nombor 2 parti itu sejak 2015.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan di Facebook rasmi parti itu berkata, Muktamar PAS Pusat ke-63 akan diadakan di Kedah pada 29 April hingga 1 Mei ini, bagi memilih barisan kepimpinan sesi 2017/2019 untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

Sebelum itu, Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat akan mengadakan Muktamar di peringkat masing-masing mulai 27 April ini.

“Setelah pencalonan ditutup, jawatan Pengerusi Tetap yang disandang Hussin Ismail dan Timbalan Pengerusi Tetap (Kamal Shaari), presiden dan timbalan presiden dimenangi tanpa bertanding oleh penyandang.

“Terdapat 5 calon untuk jawatan naib presiden, termasuk 3 penyandang sebelum ini dan 40 orang dicalonkan untuk 18 jawatan anggota Jawatankuasa PAS Pusat untuk dipilih perwakilan,” kata Takiyuddin.

Tiga penyandang naib presiden ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad; Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah; dan Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Turut dicalonkan bagi jawatan naib presiden ialah Ketua Penerangan PAS yang juga Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan; serta Takiyuddin yang juga ahli Parlimen Kota Bharu.

Takiyuddin berkata, calon tersenarai yang menerima pencalonan masing-masing dikehendaki membuat pengesahan sebelum 17 April.

Menurut Takiyuddin, peraturan pemilihan kali ini memerlukan sekurang-kurangnya 10 pencalonan untuk layak disenaraikan sebagai calon pada pemilihan kali ini berbanding 2 pencalonan sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.