Kerajaan, polis bayar RM18,000 rampas karya Zunar

Latheefa-Koya_zunar_polis_600

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan kerajaan dan polis membayar ganti rugi RM18,000 kepada kartunis kontroversi Zulkiflee Anwar Haque atau Zunar kerana merampas buku dan lukisan kartunnya 7 tahun lalu.

Peguamnya, Latheefa Koya berkata demikian kepada wartawan selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, K Pavani di dalam kamar untuk menilai kerosakan ke atas tuntutan mahkamah terhadap kerajaan dan polis itu.

“Satu persetujuan dibuat antara Zunar dan defendan, dengan defendan membayar RM18,000 kepadanya sebagai sebahagian daripada penyelesaian,” katanya.

Peguam Persekutuan Safiyyah Omar mengesahkan perkara itu.

Zunar dan syarikatnya, Sepakat Efektif Sdn Bhd, menyaman 2 pegawai polis, A Arikrisna dan Marina Hashim, bersama bekas ketua polis negara, Tan Sri Ismail Omar serta kerajaan pada 2011 atas penahanan salah.

Mahkamah Tinggi menolak saman Zunar pada 2012, tetapi memutuskan rampasan dan pemilikan berterusan 66 buku bertajuk “Cartoon-O-Phobia” dan kolaj seni tidak sah serta mengarahkan ganti rugi dinilai.

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu pada 2013.

Zunar dalam satu kenyataan hari ini berkata, rampasan lukisan kartunnya di bawah Akta Hasutan menyalahi hak asasi dan kebebasan bersuara kartunis.

“Untuk menahan lukisan tersebut dalam lokap polis selama 5 tahun dan merosakkannya adalah kesalahan lebih besar. Ia adalah satu bentuk intimidasi dan kejahilan dalam menghormati kerja seni.”

Zunar berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang bagi memastikan polis memulangkan lebih 40 karya kartunnya dalam tahanan polis di Pulau Pinang serta 1,300 buku yang dirampas polis Kuala Lumpur sejak November lalu atas dakwaan mengancam demokrasi berparlimen.