Larangan media sosial bawah 16 tahun kini jadi fenomena global

Larangan media sosial bawah 16 tahun kini jadi fenomena global

Pakar berpendapat bahawa langkah Malaysia mencerminkan perubahan global daripada penekanan kepada literasi digital dalam usaha menuntut akauntabiliti syarikat teknologi terhadap reka bentuk platform dan keselamatan kanak-kanak.

Malaysia antara beberapa negara yang mendesak syarikat teknologi bertanggungjawab mengurangkan kesan negatif media sosial terhadap remaja.
PETALING JAYA:
Langkah Malaysia mengehadkan akses media sosial kepada individu di bawah umur 16 tahun mencerminkan perubahan global yang lebih luas.

Malah, pakar berpendapat bahawa ia mempertanggungjawabkan kepada penyedia platform untuk menghasilkan sistem bagi memastikan keselamatan.

Pakar keselamatan siber M Selvakumar dari Universiti Sains Malaysia berkata langkah itu dapat mencegah mudarat lebih awal berbanding keadaan menjadi lebih buruk.

Beliau menjelaskan algoritma platform sudah pun berlaku dan memperluas risiko seperti buli siber, taktik pengantunan (grooming) atau trend bahaya seperti kandungan mencederakan diri yang tular ketika kempen kesedaran sedang berjalan.

“Pengguna hanya mengurus kesan selepas berlaku berbanding mencegah bahaya itu daripada terjadi sejak awal,” katanya kepada FMT.

Daripada tanggungjawab pengguna kepada akauntabiliti platform 

Beliau berkata kegagalan pendekatan itu telah mendorong perubahan dasar pada peringkat global dengan tanggungjawab kini dialihkan daripada pengguna kepada syarikat teknologi.

“Kegagalan pendekatan pendidikan yang bersifat reaktif ini telah mencetuskan perubahan dasar global yang pantas, memindahkan beban tanggungjawab secara terus kepada syarikat teknologi.

“Daripada mengajar kanak-kanak untuk dalam mengharungi persekitaran digital yang berisiko, kerajaan kini mula mengawal selia persekitaran itu sendiri melalui konsep ‘keselamatan sejak reka bentuk’,” katanya.

Pengarah Eksekutif Protect and Save the Children, Amnani A. Kadir, turut senada dan berkata kerajaan di seluruh dunia bertindak hampir serentak kerana risiko ini kini difahami dan dikongsi secara meluas antara negara.

“Kita lihat terdapat peningkatan kebimbangan, kemurungan, buli dan eksploitasi dalam talian merentas sempadan, di samping kesedaran bahawa platform dan ibu bapa memerlukan sokongan serta akauntabiliti yang lebih kukuh,” katanya.

“Ia telah menjadi isu kesihatan awam global, dengan banyak kajian menunjukkan kesan negatif platform ini terhadap perkembangan otak kanak-kanak dan remaja.”

Australia sebagai titik perubahan 

Perubahan ini semakin jelas selepas Australia menjadi negara pertama memperkenalkan peraturan media sosial untuk bawah 16 tahun secara nasional pada Disember 2025.

Model yang digunakan ialah “tangguh, bukan larang sepenuhnya”, di mana akaun pengguna muda diletakkan dalam keadaan sekatan sementara sehingga mencapai umur yang dibenarkan, dan bukannya dipadam terus.

Selvakumar berkata langkah Australia itu menjadi contoh praktikal yang mudah diikuti negara lain.

“Apabila sebuah negara demokrasi besar berani melaksanakan langkah ini dan berdepan tekanan awal daripada pelobi teknologi, ia membuka ruang politik kepada negara lain seperti Malaysia untuk mengikutinya tanpa dilihat sebagai bertindak luar kebiasaan.”

Negara seperti Perancis dan Sepanyol turut mengkaji had umur yang sama, manakala beberapa negara di Asia Tenggara mula bergerak ke arah pendekatan akses tertangguh.

Amnani menegaskan dasar seperti itu perlu berasaskan prinsip ‘kepentingan terbaik kanak-kanak’, sambil menambah campur tangan kerajaan kini diperlukan berikutan kegagalan platform dalam menangani isu bahaya yang telah lama wujud.

“Ia menunjukkan keutamaan terhadap keselamatan, perkembangan dan maruah kanak-kanak berbanding kemudahan atau keuntungan kerana mereka masih dalam proses membesar dan kurang berkemampuan mengurus persekitaran digital yang kompleks serta turut direka untuk mempengaruhi tingkah laku.

“Platform tidak melakukan yang sebaik mungkin untuk mencegah bahaya. Malah, selama bertahun-tahun mereka menyembunyikan data mengenai kesan terhadap kanak-kanak. Memberi akses tanpa had tanpa pengawasan ibarat membenarkan mereka memandu tanpa latihan,” katanya.

Malaysia sebahagian usaha perlindungan kanak-kanak global 

Selvakumar berkata kerajaan semakin menyedari tindakan sukarela oleh platform yang tidak mencukupi.

“Kerajaan melihat syarikat dengan model perniagaan yang bergantung kepada menarik perhatian pengguna dan menjual iklan tidak akan secara sukarela mengehadkan kumpulan pengguna muda mereka tanpa ancaman penalti kewangan yang besar,” katanya.

Amnani pula berkata langkah Malaysia perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha global melindungi kanak-kanak, bukan sekadar sekatan tempatan.

“Malaysia bertindak kerana kebimbangan kesihatan awam yang semakin meningkat. Kira-kira satu dalam tiga remaja menunjukkan tanda penggunaan ketagihan, di samping peningkatan isu kesihatan mental, buli siber dan eksploitasi dalam talian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.