Tempoh reman ‘Tan Sri’ dan 3 lagi dilanjutkan

macc-arrest-1PUTRAJAYA: Tempoh reman seorang ahli perniagaan bergelar “Tan Sri” dan 3 lagi lelaki termasuk anak lelakinya dilanjutkan 2 hari bermula esok bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu bernilai RM13 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkaitan projek pemuliharaan Sungai Melaka.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman mengeluarkan perintah reman itu di Mahkamah Majistret terhadap ‘Tan Sri’ dan anak lelakinya serta 2 pegawai JPS bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut terhadap mereka.

Dua lagi yang ditahan reman bersama sebelum ini dibebaskan dengan jaminan SPRM oleh mahkamah sama hari ini.

Keenam-enam lelaki yang berumur antara 33 hingga 63 tahun itu direman 6 hari sejak 6 April lalu.

Sebelum itu, mereka diiringi pegawai SPRM dan tiba di mahkamah jam 9.30 pagi.

‘Tan Sri’ berumur 60-an itu kelihatan sedih selepas keluar dari mahkamah ketika diiringi pegawai SPRM ke kenderaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun atau 5 kali ganda nilai suapan, mengikut mana yang tinggi.

Laporan sebelum ini semua pegawai JPS yang ditahan disyaki bersubahat dengan “Tan Sri”, pemilik syarikat dilantik membekalkan alat ‘geotube’ bagi projek JPS, membabitkan kerja pemulihan sungai dengan menggunakan kaedah penggalian pada 2012.

Semua lelaki itu didakwa membuat tuntutan pembayaran palsu berjumlah RM13 juta bagi pembekalan 358 unit ‘geotube’, sedangkan pembekalan dibuat sebanyak 89 unit dengan nilai RM4 juta.

Rasuah: Lepas tahan ‘Tan Sri’, SPRM tahan anaknya pula