Pua enggan mohon maaf kepada Najib atau padam video ‘kleptokrat’

tony-pua-najib

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua hari ini menolak tuntutan maaf daripada Datuk Seri Najib Razak semalam, berkenaan video dimuat naik di Facebook yang antara lain mendakwa perdana menteri melakukan jenayah dan terlibat rasuah.

“Seperti mana saya tidak pernah berhenti daripada membuat pendedahan, mengutamakan dan mempersoalkan skandal RM50 bilion 1MDB walaupun disaman kali pertama pada Mac 2015, saya tidak akan gentar atau ditakut-takutkan daripada terus berbuat demikian,” kata Pua, sambil menambah beliau sudah menonton semula video 5-minit yang dimuat naik pada 6 April 2017.

“Saya dengan ini berpegang kepada komen saya. Oleh itu, saya tidak akan menarik balik kenyataan itu, atau mengeluarkan video tersebut, mahupun membuat permohonan maaf terbuka kepada perdana menteri ataupun membayar pampasan kepada Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Petang semalam, peguam Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun menyerahkan surat tuntutan Najib atas kapasiti peribadinya kepada Pua, mendakwa pemimpin DAP itu membuat kenyataan fitnah di bawah tajuk “BN Govt Abandons all Bills to give precedence to PAS’ RUU355 Private Member’s Bill”.

Ia dimuat naik sejurus selepas pembentangan rang undang-undang (RUU) persendirian meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau RUU 355, yang mencetuskan ketegangan di Dewan Rakyat pada Khamis lalu selepas speaker enggan memberi laluan untuk perdebatan.

7 hari terbitkan permohonan maaf

Penyerahan surat itu turut dirakamkan kru TV3 yang tiba di pejabat Pua.

“Bertentangan dengan kenyataan fitnah anda, anak guam kami bukannya kleptokrat yang zalim dan menindas serta mengelak kritikan, atau pemimpin yang terlibat dalam amalan rasuah atau mencuri wang rakyat,” menurut surat tuntutan itu, yang memberi Pua 7 hari menerbitkan permohonan maaf sepenuhnya disiarkan dalam 2 akhbar dan mengeluarkan video tersebut dengan serta merta.

“Dakwaan palsu dan tidak berasas sama sekali oleh anda itu bertujuan meremehkan kedudukan tinggi politik anak guam kami, reputasi baik beliau di dalam negara dan antarabangsa. Dengan berbuat demikian, anda bertindak dengan berniat jahat,” katanya.

Pua hari ini berkata apa yang dimuat naik olehnya adalah berasaskan “fakta yang tidak dipertikaikan”.

Menurutnya, portal The Sarawak Report dan akhbar The Wall Street Journal pertama kali mendedahkan AS$681 juta dari dana 1MDB dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib, dan ia disahkan oleh dokumen siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

“Perlu diambil maklum, Datuk Seri Najib Razak tidak pernah mempertikaikan atau menafikan fakta yang dibentangkan DoJ sejak Julai 2016,” kata Pua.

Beliau turut mempertahankan penggunaan istilah “kleptokrat”, yang menurutnya membawa maksud kerajaan di mana pemimpinnya terlibat dalam kecurian sumber kekayaan negara.

Pua menambah, bukti dan fakta sudah pun disertakan dalam samannya terhadap Najib dan kerajaan pada 16 Januari atas dakwaan perdana menteri terlibat dalam salah laku pentadbiran awam dan kerajaan membabitkan 1MDB.