Tuntutan resit palsu: ‘Tan Sri’ dan 3 lagi dibebas hari ini

sprm-courtPUTRAJAYA: Seorang ahli perniagaan bergelar ‘Tan Sri’ dan tiga lagi lelaki termasuk anak lelakinya yang direman 8 hari bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu RM13 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkaitan projek pemulihan Sungai Melaka, dibebaskan hari ini.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahim membenarkan Tan Sri dan anak lelakinya dibebaskan dengan jaminan RM25,000 dan 2 penjamin masing-masing, manakala 2 pegawai JPS dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 2 penjamin masing-masing.

Mahkamah Majistret sebelum ini mengeluarkan perintah reman terhadap “Tan Sri”, anaknya dan 4 lagi lelaki yang berumur antara 33 hingga 63 tahun selama 6 hari bermula 6 hingga 11 April lalu.

Rabu lepas, “Tan Sri” itu dan 3 lagi disambung reman selama 2 hari lagi sehingga hari ini, manakala 2 lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Dilaporkan sebelum ini semua pegawai JPS yang ditahan disyaki bersubahat dengan “Tan Sri” yang merupakan pemilik syarikat dilantik membekalkan alat “geotube” bagi projek JPS, membabitkan kerja pemulihan sungai menggunakan kaedah penggalian pada 2012.

Semua lelaki itu didakwa membuat tuntutan resit palsu berjumlah RM13 juta bagi pembekalan 358 unit “geotube”, sedangkan pembekalan dibuat sebanyak 89 unit dengan nilai RM4 juta.

Tempoh reman ‘Tan Sri’ dan 3 lagi dilanjutkan