Mengapa tidak ekstradisi Zakir Naik, soal Zaid Ibrahim

zaid-ibrahim

PETALING JAYA: Bekas menteri Umno Datuk Zaid Ibrahim mempertikaikan perlindungan yang diberikan Putrajaya kepada Zakir Naik, kerana penceramah kontroversi itu patut dihantar pulang ke India untuk berdepan undang-undang.

Beliau menghantar 3 twit hari ini sejurus selepas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu pemberita di Putrajaya bahawa Zakir memiliki status penduduk tetap (PR) Malaysia.

Zahid juga berkata tiada soal mengenai ekstradisi pengasas Yayasan Kajian Islam (IRF) itu ke India.

“Mengapa kita tidak mahu hantar Zakir Naik pulang ke India? Sebab dia seorang penceramah Islam; walaupun jenis yang sia-sia,” kata Zaid, diikuti 2 twit lagi:

“India bukan seperti Malaysia. Mereka tidak menyeksa mereka yang dibawa ke muka pengadilan. Kedaulatan undang-undang di sana lebih baik berbanding di sini.”

“Jadi seorang PR Malaysia boleh melepaskan diri dari undang-undang negara asal mereka”.

Zaid juga merujuk kepada laporan pada Ahad, yang melaporkan Zakir tidak mahu pulang ke India untuk disoal siasat polis India, bimbang dirinya akan diseksa.

Awal hari ini, Zahid, yang juga menteri dalam negeri berkata, kerajaan akan membantu pihak berkuasa India sekiranya mereka memohon bantuan undang-undang bersama dalam siasatan ke atas dakwaan pengubahan wang yang didakwa membabitkan IRF.

“Tiada apa yang untuk kita siasat. Siasatan perlu dilakukan oleh pihak berkuasa India sendiri.

“Kita ikut sistem undang-undang negara kita dan ikut kerangka diplomatik yang ada, kalau ada permohonan bagi MLA, kita akan beri kerjasama penuh,” kata Zahid.

Sementara itu, Times of India pada Sabtu melaporkan Agensi Siasatan Kebangsaan India akan memohon notis merah dari Interpol selepas Zakir ingkar saman untuk tampil disiasat mengenai hal ehwalnya di India.

Nots merah merupakan instrument paling dekat kepada waran tangkap antarabangsa. Bulan lepas, polis Malaysia berjaya mendapatkan notis merah selepas meminta bantuan Interpol untuk menangkap 4 lelaki Korea Utara yang dikehendaki untuk disoal mengenai pembunuhan Kim Jong Nam di klia2 13 Februari tahun ini.

Ditanya sama ada polis akan mematuhi notis dan menangkap penceramah kontroversi itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata: “Kita tunggu mereka mohon notis terlebih dahulu”.

Bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin membidas kenyataan Zahid mengenai status PR Zakir, mencadangkan ia memberikan hak kepada penceramah itu untuk mencampuri politik Malaysia.