Rebut kuasa jangan sampai gadai kontrak sosial, kata TPM

Zahid-Hamidi_smedia_6001

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua pihak agar tidak menggadaikan kontrak sosial hanya kerana ingin merebut kuasa.

Berucap merasmikan persidangan antarabangsa “Human Ecology 2017” di sini hari ini, beliau berkata keharmonian yang dinikmati negara hanya dikecapi daripada kontrak sosial yang sekian lama mengikat masyarakat bersama.

“Hari ini, asas itu dicabar dan terhakis kerana ada pihak yang mahu merampas kuasa dan mengganggu (distort) kontrak sosial dengan propaganda mereka,” katanya tanpa menamakan mana-mana pihak secara khusus.

Memetik pepatah Melayu, “bagai retak menunggu belah”, Zahid berkata ia sama sekali tidak boleh dibenarkan berlaku.

“Jika kontrak sosial dimusnahkan, bukan sahaja berlakunya kekacauan sosial, tetapi lebih teruk daripada itu. Jalan-jalan raya akan dipenuhi dengan darah dan mayat,” katanya.

Zahid yang juga menteri dalam negeri itu turut menyentuh peranan media sosial yang menurutnya menjadi “medan tempur” kepada pertembungan pelbagai idea dan fahaman.

Beliau berkata, pelbagai fahaman dan idea mudah tersebar melalui medium itu, termasuk yang menyentuh nilai moral dan sistem kepercayaan.

“Tidak pernah dalam sejarah kemanusiaan kita melihat revolusi sosial yang bergolak dengan dramatik,” katanya.

Dalam konteks Malaysia, katanya, 95% pengikut idealogi keganasan direkrut melalui laman sosial Facebook.

Menurutnya, isu politik juga tidak lagi ditentukan melalui referendum atau rundingan, tetapi menerusi protes jalanan yang dicetuskan melalui media sosial.

“Di Malaysia, media sosial menjadi ‘medan tempur’ antara fahaman berlainan sama ada dalam aspek politik, agama atau sosial.

“Kita bukan sahaja perlu berharap ia tidak bertukar menjadi medan tempur sebenar seperti di Iraq, Syria dan Turki. Tetapi kita perlu menguatkuasakannya,” katanya.