Zamihan gesa Asri jangan hina agama lain, Hindraf jauhi urusan Islam

Zamihan gesa Asri jangan hina agama lain, Hindraf jauhi urusan Islam

Presiden Aswaja, Dr Zamihan Mat Zin juga menggesa agar Asri didakwa di mahkamah atas tuduhan menghasut.

zamihan
PETALING JAYA:
Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) menegur Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan menegaskan, sebagai seorang mufti dan agamawan beliau tidak wajar mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama lain selagi hidup dan tinggal di negara berbilang kaum, budaya dan agama.

Pada masa yang sama, badan bukan kerajaan ini mengecam tindakan Hindraf yang didakwa mencampuri urusan umat Islam di Malaysia termasuk dalam hal ehwal pihak berkuasa negara ini.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Presiden Aswaja, Dr Zamihan Mat Zin menggesa supaya Asri didakwa di mahkamah atas tuduhan menghasut.

Kata Zamihan, mufti Perlis itu sepatutnya tidak mencampuri isu mengenai pendakwah berkontroversi dari India, Dr Zakir Naik dan bantahan pelbagai pihak terhadap ke atas beliau, termasuk oleh Hindraf.

“Sebagai agamawan yang selalu mendakwa mengikut sunnah, beliau tidak sepatutnya menghina agama lain dalam meluahkan perasaannya.”

Katanya: “Ia merupakan tindakan pramatang yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang mufti. Perbuatan menghina agama lain adalah jelas sebagaimana firman Allah.”

Kelmarin, Asri memuat naik beberapa baris di laman Facebooknya, menyelar apa yang dipanggilnya golongan “mempertuhankan lembu” kerana menentang seorang “pendakwah”.

“Apabila yang mempertuhankan lembu bersatu, lantas menyeru agar pendakwah kita dibelenggu,” Asri memulakan catatan ringkas yang disifatkannya “puisi pagi Jumaat”.

Walaupun tidak menamakan siapa yang dimaksudkannya, beliau yang sebelum ini mempertahankan Zakir.

Dalam catatannya, Asri turut mengecam sebuah kerajaan yang menurutnya “menyembah api dan penganut sati, pembakar wanita janda, di benua sana.”

Sati merujuk amalan kuno dalam kalangan masyarakat Hindu di India yang diharamkan di negara itu, di mana seorang balu membakar dirinya selepas kematian suami.

Bagaimanapun semalam, Asri menjelaskan puisi itu tidak merujuk kepada komuniti Hindu tempatan.

Di sebalik kecaman di media sosial dan kritikan dari badan bukan kerajaan, termasuk laporan polis terhadapnya, Asri menegaskan, puisi itu sebaliknya ditujukan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri India Narendra Modi.

“Puisi memperkatakan tentang kerajaan Modi di India yang membiarkan saban hari Muslim dibunuh dengan kejam hanya kerana memakan daging lembu,” kata Asri di Facebook.

Dalam ulasan terbaharu hari ini, Asri terus mempertahankan pendapat beliau dengan mendakwa dirinya menganjurkan keharmonian antara kaum.

Asri turut menyelar bukan Islam yang menurutnya mencampuri urusan Islam kerana tidak senang dengan jemputan kepada Zakir untuk menyampaikan khutbah di Perlis.

“Apakah boleh mereka campur tangan urusan agama orang lain dan kemudian ingin memberitahu kita jangan campur tangan urusan agama mereka?” soal Asri, merujuk kenyataan kumpulan Hindraf pada Januari yang terkejut Zakir, yang berdepan siasatan jenayah di India, dijemput menyampaikan khutbah.

Zamihan yang banyak kali terlibat dalan polemik dengan Asri berkata, tindakan mufti itu bukan sahaja menyalahi sunnah, malah ia dikira bersifat hasutan dan patut dihadapkan ke muka pengadilan.

“Ini kerana kenyataan beliau jelas mencetuskan kegusaran dan ketegangan antara kaum dan agama dalam kalangan masyarakat di negara ini,” kata beliau.

Pada masa yang sama, Zamihan turut menggesa Hindraf supaya menghentikan polemik berkenaan isu Zakir, sebaliknya menyerahkan urusan tersebut kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka tanpa sebarang gangguan.

Katanya, Aswaja yakin kerajaan Malaysia dan India mempunyai cara tersendiri untuk menyelesaikan isu ini secara hikmah dan bijaksana serta memenangkan kedua-dua pihak.

Asri bidas penyembah ‘lembu’ yang halang ‘pendakwah kita’

Asri selar bukan Islam ‘campur tangan’, terus pertahan ‘puisi Jumaat’

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.