Thaqif, pelajar tahfiz yang hilang kaki, meninggal dunia

Mohamad-ThaqifPETALING JAYA: Pelajar tahfiz Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, yang terlantar di hospital dan kehilangan 2 kakinya, meninggal dunia pada jam 2.06 petang tadi.

Ibu saudaranya, Dzuraidah Ahmad, mengesahkan perkara itu kepada FMT.

Thaqif, 11, dimasukkan di wad rawatan rapi di Hospital Sultan Ismail sejak Rabu lepas, selepas dilaporkan dipukul dengan paip getah oleh seorang pembantu warden asrama di Madrasah Tahfiz Al-Jauhar (MTAJ) di Kampung Lukut, Kota Tinggi, Johor.

Dia dijadualkan menjalani pembedahan untuk memotong tangan kanannya hari ini.

Bagaimanapun, doktor menangguhkan prosedur itu pagi tadi berikutan keadaan jantung Thaqif yang tidak stabil.

Sebelum ini, kedua-dua belah kaki Thaqif dipotong selepas mengalami pembekuan darah, dipercayai kesan daripada kecederaan dialami ketika dipukul.

Pembantu warden yang terbabit mencederakan Thaqif, yang kini direman polis, didapati mempunyai rekod lampau jenayah.

Dalam pada itu, bapa Thaqif, Mohd Gaddafi Mat Karim dipetik Bernama sebagai berkata, anaknya meninggal dunia ketika mereka sekeluarga membacakan surah Yasin kepadanya.

“Saya berharap semua pihak mendoakan yang terbaik untuk anak saya, mendoakannya menjadi anak yang soleh,” kata bekas pemain bola sepak Selangor itu.

Katanya, keluarganya reda dengan pemergian Thaqif dan jenazahnya akan dikebumikan di tanah perkuburan di Felda Bukit Aping Timur, Kota Tinggi, selepas selesai dibedah siasat.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan tidak putus-putus berdoa untuk anak ke-3 daripada 5 beradik itu.