PAS tak benci bukan Islam, tentang DAP kerana perangi dasar Islam

PAS tak benci bukan Islam, tentang DAP kerana perangi dasar Islam

PAS juga menentang Amanah kerana mengkhianati perjuangan Islam, dan Umno kerana menzalimi rakyat.

Nik-Bakri-dap
ALOR SETAR: Pembahas perwakilan ulama PAS hari ini menegaskan parti mereka tidak pernah membenci golongan bukan Islam semata-mata atas dasar berlainan agama.

Pembahas perwakilan Ulama PAS Selangor Nik Bakri Nik Mat berkata mereka akan menentang mana-mana pihak yang menzalimi rakyat dan masyarakat, atau memerangi dasar Islam bawaan PAS.

“Kami tidak pernah benci bukan Islam atas nama kafir, tapi memerangi bukan Islam atau Islam yang menzalimi rakyat dan masyarakat.

“Kami memerangi DAP bukan atas dasar mereka bukan Islam tetapi DAP menzalimi umat Islam dengan memerangi dasar perjuangan PAS.

“Begitu juga, kami perangi Amanah atas dasar mereka khianati perjuangan Islam dan menzalimi perjuangan Islam.

“Kita juga tidak benci Umno kerana mereka Umno tetapi kita benci kezaliman yang ada pada mereka yang menzalimi rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucaptama Ketua Dewan Ulama Datuk Mahfodz Mohamed sempena mesyuarat agung tahunan ulama PAS di Sekolah Rendah Islam Darul Ulum, Alor Setar, hari ini.

Sementara itu, pembahas perwakilan Ulama PAS Pulau Pinang Ahmad Yusof menggesa sayap parti itu menggiatkan usaha dakwah kepada orang bukan Islam supaya mereka tidak takut dan faham maksud sebenar Islam.

“Kita tidak mesti bakulkan atau membakulkan semua bukan Islam dalam bakul orang jahat.

“Ada antara bukan Islam yang lembut hati dan ada masih kurang memahami Islam jadi tugas kita sebagai ulama memberi penerangan,” katanya.

Hubungan PAS antara DAP terputus lantaran perbalahan antaranya mengenai pelaksanaan undang-undang Islam di Kelantan. Amanah merupakan parti serpihan yang ditubuhkan bekas pemimpin PAS yang tewas dalam pemilihan parti 2015.

Menuju pilihan raya umum ke-14, yang selewat-lewatnya perlu diadakan tahun depan, spekulasi kuat mengatakan PAS dan Umno akan menjalin kerjasama politik.

Pimpinan PAS sebelum ini menyatakan kerjasama mereka dengan Umno terhad kepada isu membabitkan Islam, seperti dalam isu rang undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355, yang mahu meningkatkan hukuman kesalahan syariah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.