Kami tak anti-Cina, pembantu MB Kelantan bernama Lau Chin Chua

Kami tak anti-Cina, pembantu MB Kelantan bernama Lau Chin Chua

PAS jadikan pelantikan Lau Chin Chua bukti mereka tidak anti-Cina

ahmad-yaakob-1
ALOR SETAR:
PAS menjadikan pelantikan seorang lelaki Cina bernama Lau Chin Chua sebagai pembantu khas Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob sebagai bukti mereka tidak anti-Cina.

Perwakilan PAS Kelantan menegaskan penentangan terhadap DAP tidak boleh dilihat sebagai membenci orang bukan Islam.

“Di Kelantan contohnya bangsa Cina dan India tidak ramai tetapi kita meraikan kaum bukan Islam dengan melantik mereka sebagai penghulu dan ahli majlis,” kata pembahas Dr Abdullah Yaakob.

“Kita tidak anti-Cina. Kita hanya anti-DAP sebab mereka tolak Islam. Buktinya amat banyak,” tambahnya, ketika membahaskan ucaptama Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada hari kedua Muktamar PAS Pusat ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut.

Katanya antara bukti DAP menolak Islam ialah pada 2015, selepas gabungan parti pembangkang ketika itu, Pakatan Rakyat, menjemput Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Fadhli Hassan dan Exco Kelantan Datuk Nasruddin Daud untuk memberi penerangan mengenai pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II sebelum ia dibentangkan di DUN Kelantan.

“Tapi setelah perbincangan mereka kata kalau kita teruskan agenda maka berpecah Pakatan Rakyat, dan kita juga kata kalau tidak lulus kami juga berpecah,” katanya.

Beliau menambah PAS tegas dengan pendirian mereka dan akhirnya DAP membubarkan PR.

Mesyuarat agung tahun itu menyaksikan PAS memutuskan hubungan dengan DAP, dan beberapa pemimpin veteran meninggalkan parti itu untuk membentuk Amanah.

Amanah dan DAP, bersama PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia membentuk pakatan baharu yang dikenali sebagai Pakatan Harapan.

Perwakilan ulama PAS Selangor Nik Bakri Nik Mat 28 April lalu berkata mereka menentang DAP kerana memerangi dasar PAS dan melawan Amanah kerana mengkhianati perjuangan PAS.

Pada muktamar kali ini, Ulama dan Pemuda PAS meluluskan usul memutuskan kerjasama “tahaluf siyasi” dengan PKR, dan diangkat ke Majlis Syura Ulama untuk dimuktamadkan.

Pembahas perwakilan Ulama PAS Selangor Nik Bakri Nik Mat Khamis lalu.

PAS tak benci bukan Islam, tentang DAP kerana perangi dasar Islam

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.