Kes pukul depan surau: 4 lelaki dibebaskan

Kes pukul depan surau: 4 lelaki dibebaskan

Empat suspek berumur 21 hingga 55 tahun itu dibebaskan setelah keterangan mereka diambil.

Wan-Ahmad-Najmuddin-pukul-depan-masjid
JOHOR BAHRU: Empat lelaki yang ditahan awal pagi ini berhubung kes memukul seorang pemandu di depan sebuah surau di Taman Austin Perdana semalam, dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, 4 suspek berumur 21 hingga 55 tahun itu dibebaskan setelah keterangan mereka diambil.

Katanya, polis menemui kedua-dua pihak, iaitu mangsa dan orang di surau berkenaan bagi membincangkan kes berkenaan dan setakat ini, ia disifatkan terkawal.

“Kita akan siasat dari pelbagai sudut tetapi masyarakat diminta tidak menimbulkan sebarang spekulasi di laman sosial.

“Saya juga mahu memberi amaran kepada pengguna-pengguna laman sosial di luar sana agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

“Sekiranya kita mendapati ada individu yang mengeluarkan kata-kata berbaur hasutan, kita akan ambil tindakan,” katanya.

Najmuddin berkata demikian selepas merasmikan Karnival Sukan dan Pasaria anjuran Persatuan Kebajikan Polis (Perkep) Kontinjen Johor di perkarangan Dewan Dato’ Onn Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) negeri hari ini.

Menurutnya, kejadian itu, sebelum ini sengaja disebarluaskan individu tidak bertanggungjawab yang tidak mempunyai maklumat tepat tentang kejadian itu.

Kejadian itu yang berlaku kira-kira 1 tengah hari semalam, dipercayai berpunca daripada kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan sehingga menyukarkan pergerakan kenderaan seorang pemandu, lalu menyebabkannya beliau membunyikan hon ketika solat Jumaat sedang berlangsung.

Tindakan itu mengakibatkan sekumpulan lelaki dipercayai jemaah masjid merusuh di depan kenderaannya dan memukul pemandu terbabit.

Kejadian itu menjadi tular di laman sosial.

‘Dihenyak’ di luar surau akibat hon kerana kereta terhalang

Polis tahan 4 individu gaduh depan surau

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.