‘Dihenyak’ di luar surau akibat hon kerana kereta terhalang

Toyota-Camry-masjid
PETALING JAYA: Seorang lelaki dipukul dan kereta dirosakkan sekumpulan lelaki akibat membunyikan hon kerana kesesakan dan halangan di hadapan surau.

Menurut kenyataan yang diterima FMT, kejadian berlaku ketika solat Jumaat, di hadapan sebuah surau di Austin Perdana, Taman Setia Indah, Johor Bahru.

“Lelaki Cina tersebut membunyikan hon kereta yang telah menimbulkan kemarahan beberapa orang lelaki Melayu yang datang solat Jumaat.

“Ekoran daripada tindakan lelaki Cina tersebut beberapa individu telah bertindak merosakkan kereta dan memukul lelaki Cina tersebut,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor (JSJ) SAC Datuk Kamarulzaman Mamat malam tadi.

Dua rakaman kejadian juga menjadi tular di media sosial. Sekumpulan lelaki dilihat mengepung dan memukul kereta jenis Toyota Camry, yang cuba beredar tetapi gagal kerana laluan terhalang.

Pemandu cuba berundur dan hampir mengenai seorang lelaki yang menendang kereta itu. Kemudian seorang lelaki berbaju biru menghentakkan topi keledar di cermin belakang kereta sehingga pecah.

Kereta itu kemudian berhenti, dan sekumpulan lelaki terus meluru ke bahagian pemandu dan memukul pemandu yang keluar daripada kereta tersebut. Pemandu juga dipukul seorang lelaki berjubah dan berkopiah dengan kon plastik warna jingga.

Polis yang mendapat maklumat bergegas ke tempat kejadian dan berjaya mengawal keadaan.

“Kesemua yang terlibat telah dibawa ke balai polis di mana 1 sesi perjumpaan telah diadakan di antara pihak yang terlibat termasuk AJK surau.

“Kesemua pihak yang terlibat faham dan telah menyerahkan siasatan kepada polis dan tidak mahu membuat sebarang spekulasi atau campur tangan daripada pihak lain,” kata Kamarulzaman.

Polis menyeru orang ramai supaya tidak menularkan kejadian ini, dan mengingatkan sifat bertolak ansur dan prihatin amat mustahak untuk mengekalkan keamanan dalam masyarakat majmuk.

“Polis memberi amaran akan mengambil tegas kepada mana-mana individu atau kumpulan yang menggunakan insiden ini sebagai landasan untuk menggugat ketenteraman awam atau mengganggu siasatan.”