
Pemangku Ketua Polis Johor, Hoo Chuan Huat, berkata ibu kandung kepada bayi perempuan itu ditahan 12 tengah hari tadi di pekarangan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Menurutnya, penahanan itu hasil siasatan lanjut ke atas penemuan mayat seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan di kawasan parkir sebuah flat di Johor Bahru pada 2 Mei lalu.
“Berdasarkan keterangan dan bukti, polis menahan suspek yang dipercayai telah membuang bayi masih bernyawa sehingga menyebabkan kematian,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, suspek tiada rekod kesalahan jenayah lampau dan beberapa saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan.
Jelasnya, kertas siasatan kemudian diserahkan kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Johor yang mengarahkan suspek dituduh mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, esok.
Hoo menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kes itu.