
Azam berkata, beliau tiba kira-kira 9 pagi tadi dan memberikan kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat, lapor Sinar Harian.
Katanya, proses merekod keterangan berlangsung kira-kira dua jam dijalankan pegawai penyiasat daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Menurutnya, beliau menafikan semua dakwaan dibuat Tei dan memaklumkan kepada polis dirinya tidak pernah bertemu ahli perniagaan itu atau membuat sebarang urusan dengannya.
“Saya juga tidak pernah menghantar peguam untuk bertemu dengan mana-mana pihak yang mewakili saya.
“Saya turut mengemukakan bukti kepada pegawai penyiasat bahawa saya tidak pernah bertemu atau berurusan secara langsung dengan Tei,” katanya.
Bulan lalu, polis mengesahkan akan memanggil Azam dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ugutan terhadap Tei.
Pengarah JSJ Bukit Aman, M Kumar, berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, susulan laporan polis dibuat Tei pada 13 Mei lalu.
Menurut Kumar, setakat ini dua saksi dirakam percakapan, iaitu Tei dan seorang peguam yang didakwa menyampaikan ugutan itu.
Sebelum ini, Tei membuat laporan polis mendakwa diugut serta cuba dihalang daripada mendedahkan skandal rasuah di Sabah pada November 2024.
Laporan itu dibuat di Balai Polis Presint 7, Putrajaya, sehari selepas Azam menamatkan perkhidmatannya di SPRM.