COO anak syarikat prasarana, isteri bebas dengan jaminan

COO anak syarikat prasarana, isteri bebas dengan jaminan

Mereka ditahan reman sejak Khamis lalu bagi membantu siasatan kes salahguna kedudukan dan terima rasuah, dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM20,000 tiap seorang

coo-sprm
PUTRAJAYA: Ketua pegawai operasi sebuah anak syarikat Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) dan isterinya yang ditahan reman sejak Khamis lepas bagi membantu siasatan kes menyalahgunakan kedudukan dan menerima rasuah untuk kepentingan diri, dibebaskan hari ini dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut jurucakap SPRM, Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan suspek, 54, dan isteri, 50, dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin setiap seorang.

Laporan media sebelum ini menyebut siasatan awal mendapati ketua pegawai operasi itu menerima wang rasuah dianggarkan berjumlah RM600,000 bagi meluluskan beberapa projek pembekalan bas, alat ganti dan pembaikan bas.

Difahamkan, suspek yang pernah bertugas sebagai ketua pegawai operasi Rapid Penang, dipercayai mengambil wang rasuah sejak 2013 menerusi beberapa projek yang dilaksanakan di bawah penyeliaannya dan dimasukkan ke akaun milik isterinya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan akan berdepan hukuman penjara 20 tahun serta denda sehingga 5 kali ganda nilai suapan.

Pengurus besar anak syarikat Prasarana dan isteri ditahan SPRM

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.