Rafizi diminta mohon maaf atau dikenakan tindakan

rafizi-diminta-mohon-maaf-gavelKUALA TERENGGANU: “Mohon maaf atau dikenakan tindakan undang-undang”, kata Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu, Wan Abd Malik Wan Sidek kepada Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Malik berkata, tindakan Rafizi mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap institusi kehakiman syariah baru-baru ini merupakan satu penghinaan kepada institusi itu serta hakim Mahkamah Syariah.

Tuduhan tidak berasas itu juga katanya, mampu menimbulkan kekeliruan serta mengurangkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi kehakiman syariah sekali gus merendahkan martabat hakim Mahkamah Syariah.

“Jadi kita minta Rafizi menarik balik kenyataan itu atau memohon maaf secara terbuka. Kita berikan tempoh sebulan untuknya berbuat demikian sebelum tindakan undang-undang diambil.

“Ia juga satu penghinaan kepada institusi raja-raja Melayu yang melantik hakim Mahkamah Syariah sekaligus merendahkan reputasi mereka di mata masyarat,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu hari ini.

Malik membuat laporan polis terhadap Rafizi berikutan kenyataan naib presiden PKR itu dalam program “Parlimen Olok-olok” pada 10 April lepas mengenai Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah (Pindaan) 1965 (RUU 355) yang dibentangkan ahli Parlimen Marang, tidak menyentuh soal kenaikan gaji hakim Mahkamah Syariah akan meningkatkan risiko pengambilan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan hakim Mahkamah Syariah.

Jelasnya, ini juga bagi memberi peringatan dan pengajaran kepada Rafizi agar tidak bermulut celupar dengan mudah melakukan penghinaan terdapat mana-mana organisasi.

Malik yang juga ahli Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) menegaskan, perkara berkaitan agama tidak sepatutnya dipolitikkan dan kenyataan yang dikeluarkan itu demi kepentingan dirinya semata-mata.

“Laporan ini dibuat kerana kenyataan Rafizi itu merupakan satu serangan ke atas integriti institusi kehakiman syariah dan perlu disiasat di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana memfitnah,” katanya.