
Ketua Pemuda Umno itu berkata, setiap janji perlu diperincikan berserta perancangan kukuh bagi meyakinkan rakyat.
“Zaman kita bagi janji umum sahaja (sudah berakhir). Rakyat kini sudah terpelajar untuk memakan umpan seumpama itu,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Hari Belia Negara 2017 di Putrajaya, hari ini.
Sebaliknya, Khairy mendakwa kerajaan membuktikan kemampuan itu melalui program seperti Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan projek besar seperti Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).
“Program ini menjana pekerjaan, dan rakyat boleh melihatnya.
“Jadi jika (Pakatan) mahu menjana sejuta pekerjaan, mereka kena tunjukkan bidang apa, pelaburan apa, dan peruntukan dari mana,” kata Menteri Belia dan Sukan itu lagi.
Jumaat lalu, Pemuda Pakatan Harapan berkata gabungan itu mampu mewujudkan sejuta pekerjaan dalam masa 5 tahun jika menang dalam pilihan raya umum akan datang.
Mereka berkata ia boleh dicapai dengan cara mengurangkan pekerja asing berdaftar daripada 3 juta kepada 2.5 juta dalam 5 tahun, di samping menjadikan kerja “3D” (kotor, berbahaya, sukar) lebih menarik buat golongan muda melalui tawaran gaji dan faedah yang baik.
Ahli majlis eksekutif Pemuda DAP, Dyana Sofya Md Daud berkata kerajaan Pulau Pinang sudah membuktikan perkara itu dengan membelanjakan kira-kira RM20 juta bagi menarik golongan muda tempatan sebagai pekerja majlis perbandaran
Katanya, inisiatif itu menarik sejumlah 25,000 pemohon dan 2,437 golongan muda kini menjadi pekerja “3D” dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang.