
Presiden merangkap ketua pegawai eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, berkata langkah itu bagi membolehkan syarikat bertindak lebih pantas serta responsif terhadap sebarang gangguan dalam rantaian bekalan.
Beliau juga menyifatkan perubahan tempoh itu sebagai sebahagian daripada langkah mitigasi segera susulan peningkatan risiko geopolitik global.
“Pendekatan bagi kemajuan masa depan itu kini dipendekkan daripada tiga bulan kepada 45 hari supaya kita dapat menangani isu bekalan dengan lebih tangkas,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Bicara Naratif Khas: Mendepani Cabaran Krisis Tenaga Global di TV1 RTM malam tadi.
Mengulas lanjut, Tengku Muhammad Taufik berkata Petronas juga meningkatkan tahap kesiapsiagaan operasi merangkumi keseluruhan rantaian nilai tenaga daripada perolehan minyak mentah, penapisan, logistik hingga pengedaran produk seperti petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG) dan bahan api jet.
“Di peringkat hiliran yang melibatkan operasi penapisan, kami turut mengambil pendekatan untuk mengkaji semula masa yang sesuai untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan bagi memastikan operasi kekal optimum sekiranya berlaku gangguan berkalan,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan Malaysia masih mempunyai jaminan bekalan bahan api domestik sehingga akhir Mei 2026, namun langkah mitigasi sedang dipergiat bagi memastikan kelangsungan bekalan selepas tempoh itu.
Beliau mendedahkan usaha mendapatkan bekalan daripada sumber alternatif telah mencapai tahap yang disifatkannya sebagai ‘agak maju’.
Dalam pada itu, Petronas akan terus memberi keutamaan kepada keperluan tenaga domestik.
Menyentuh isu keterjaminan bekalan, beliau berkata aspek berkenaan tidak boleh ditangani dari sudut penawaran semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama pengguna dalam mengurus permintaan.
“Kita harus mengelakkan pembelian panik atau ‘hoarding’ (sorok bekalan). Pengguna juga mempunyai tanggungjawab dalam memastikan kestabilan bekalan.
“Langkah-langkah penguatkuasaan juga sedang dipertingkatkan dari semasa ke semasa, khususnya oleh pihak berkuasa bagi membendung aktiviti penyorokan yang boleh menjejaskan pasaran,” katanya.
Mengulas ketegangan global semasa, beliau berkata ketidaktentuan dalam sistem tenaga global bukan sesuatu yang asing, sebaliknya menjadi sebahagian realiti yang perlu diurus secara bersama oleh kerajaan, industri dan rakan antarabangsa.
Sejak penubuhannya pada 1974, Petronas melalui pelbagai kitaran global yang mencabar termasuk Krisis Suez (1956), krisis tenaga (1973-1974) serta konflik Iran-Iraq.
“Setiap kali krisis berlaku, kita lihat kaitan dengan lonjakan harga. Namun peranan asas Petronas kekal sama iaitu memastikan bekalan tenaga stabil dan negara bersedia menghadapi sebarang ketidaktentuan.
“Keupayaan Petronas dalam menangani krisis berulang ini bukan bergantung kepada individu tertentu atau pihak pengurusan tertinggi semata-mata, sebaliknya hasil sumbangan seluruh warganya sejak penubuhan syarikat ini,” katanya.