Malaysia kini lebih berdaya tahan hadapi krisis tenaga, kata penganalisis

Malaysia kini lebih berdaya tahan hadapi krisis tenaga, kata penganalisis

Jamil Ghani berkata ketahanan Malaysia yang semakin kukuh tidak bermakna negara ini bebas sepenuhnya daripada kesan kejutan global.

Pada 1973, Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum mengenakan embargo minyak ketika perang antara Israel dan gabungan negara Arab, mencetuskan kejutan minyak pertama yang memberi kesan ke seluruh dunia. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Malaysia kini jauh lebih berdaya tahan berbanding ketika krisis minyak pada 1970-an, kata seorang penganalisis minyak dan gas yang menyatakan keadaan itu berlaku atas beberapa faktor.

Faktor itu antaranya susulan keupayaan institusi lebih kukuh, sistem tenaga pelbagai, serta penyelarasan baik antara agensi kawal selia dan operasi.

Jamil Ghani berkata peningkatan daya tahan itu tidak menghapuskan sepenuhnya pendedahan Malaysia kepada kejutan global, namun kesannya kini lebih mudah diurus.

Selepas lebih lima dekad, ketegangan di Asia Barat sekali lagi mengganggu pasaran tenaga dunia. Bagaimanapun, Jamil berkata perbandingan dengan sejarah hanya wajar dijadikan panduan kerana keadaan dan mekanisme krisis hari ini berbeza secara asas.

Menurutnya, risiko ketika ini bukan lagi sekatan bekalan seperti pada 1973, sebaliknya gangguan terhadap laluan transit penting, yang walaupun berlaku secara separa, masih boleh membawa kesan besar.

Iran menyekat hampir semua pergerakan trafik melalui Selat Hormuz, laluan strategik penting yang mengendalikan kira-kira satu perlima daripada minyak dan gas asli cecair dunia, susulan serangan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Tindakan itu menyebabkan harga minyak global melonjak.

Negara itu juga cuba memasang periuk api dan menyasarkan kapal tangki yang melalui laluan berkenaan tanpa kebenaran Tehran, manakala AS bertindak balas dengan mengenakan sekatan terhadap semua kapal menuju ke atau keluar dari pelabuhan Iran.

“Dahulu, minyak digunakan sebagai alat politik melalui pengurangan bekalan. Hari ini, kuasa tekanan datang daripada gangguan terhadap pergerakan tenaga, bukan lagi pengeluarannya.

“Walaupun logik menggunakan tenaga sebagai pengaruh masih sama, caranya sudah berubah daripada kawalan pengeluaran kepada gangguan di laluan strategik. Ini boleh dikatakan lebih sukar diramal dan lebih mencabar untuk diurus,” katanya kepada FMT.

Selain minyak, baja, bahan mentah petrokimia dan bahan lain yang bergantung kepada rantaian bekalan Teluk turut terjejas, sekali gus mengehadkan aliran barangan ke pasaran global.

Namun, Jamil berkata Petronas sebagai tunjang sektor minyak dan gas negara, terus memainkan peranan penting dalam membantu Malaysia menyerap kesan krisis tenaga global semasa.

Bulan lalu, syarikat minyak dan gas negara itu mengesahkan bekalan bahan api di stesennya di seluruh negara kekal terjamin sehingga akhir Jun, lanjutan daripada unjuran awal yang hanya menjangkau akhir Mei.

Petronas membekalkan kira-kira 50% keperluan bahan api negara melalui anak syarikatnya, Petronas Dagangan Bhd manakala selebihnya dibekalkan syarikat minyak lain.

Syarikat itu turut memaklumkan ia akan terus mengurus rantaian bekalannya secara aktif bagi memastikan stok mencukupi di seluruh rangkaian stesennya ketika konflik di Asia Barat berterusan, langkah yang menurut Jamil dapat membantu mengekalkan keyakinan orang ramai.

“Petronas pada dasarnya sedang melaksanakan mandat terasnya, iaitu memastikan kestabilan bekalan domestik.

“Pada masa sama, syarikat itu juga mengurus pendedahannya melalui portfolio huluan yang pelbagai serta kedudukannya sebagai pengeksport bersih LNG, yang memberikan sedikit kelonggaran dari segi fiskal dan operasi,” katanya.

Kejutan minyak pertama berlaku pada 1973 apabila Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum mengenakan embargo minyak ketika perang antara Israel dan gabungan negara Arab pimpinan Mesir dan Syria.

Walaupun Malaysia tidak menjadi sasaran langsung, embargo itu mendedahkan kelemahan dalam sistem tenaga domestik negara, termasuk kapasiti penapisan yang terhad, tadbir urus strategik yang belum kukuh, serta kawalan terhadap sumber yang masih lemah.

Kelemahan itu kemudiannya ditangani melalui pengukuhan kawalan kerajaan, pembangunan kapasiti penapisan dan petrokimia, serta perancangan jangka panjang sektor tenaga yang lebih tersusun, yang akhirnya membawa kepada penubuhan Petronas.

Melangkah ke hadapan, Jamil berkata kekuatan institusi kekal menjadi asas keselamatan tenaga, namun ia perlu disokong strategi lebih luas bagi menangani risiko yang sentiasa berubah.

Antaranya termasuk mempelbagaikan laluan bekalan, memperkukuh hubungan tenaga serantau, serta melabur dalam teknologi bagi menyokong sistem tenaga yang lebih fleksibel.

Katanya, keselamatan tenaga akhirnya tidak seharusnya hanya tertumpu kepada jaminan bekalan semata-mata, tetapi juga kepada pembinaan sistem yang mampu menyerap dan menyesuaikan diri dengan gangguan, termasuk dalam rangkaian elektrik, infrastruktur digital dan rantaian bekalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.