
Samirul Ariff Othman, profesor adjung di Universiti Teknologi Petronas berkata kesan daripada perkembangan itu terhadap Malaysia mungkin “bercampur, tetapi penting”, memandangkan negara ini ialah pengeksport minyak dan gas, selain turut mengimport minyak mentah serta produk petroleum bertapis.
“Jika pengunduran UAE melemahkan disiplin OPEC dan menyebabkan bekalan meningkat, harga minyak mungkin menjadi lebih rendah. Ini boleh mengurangkan kos import Malaysia, tekanan inflasi serta beban subsidi bahan api kerajaan,” katanya.
“Namun, jika pengunduran itu mencetuskan ketidaktentuan dan turun naik harga, Malaysia boleh berdepan keadaan sebaliknya: kos import lebih tinggi, kos logistik meningkat dan tekanan lebih besar terhadap subsidi.”
Beliau berkata, harga minyak yang lebih tinggi boleh meningkatkan hasil petroleum dan membolehkan Petronas membayar dividen lebih besar kepada kerajaan.
Namun, manfaat itu mungkin berkurangan kerana kos subsidi turut meningkat, selain menambah tekanan kepada belanjawan isi rumah.
“Bagi Malaysia, persoalannya bukan sekadar sama ada harga minyak naik atau turun. Isu yang lebih besar ialah ketidaktentuan harga.
“Harga minyak yang tidak menentu menyukarkan perancangan fiskal, penyasaran subsidi dan pengurusan inflasi,” katanya.
UAE baru-baru ini mengumumkan akan keluar daripada OPEC dan OPEC+ berkuat kuasa 1 Mei bagi memberi tumpuan kepada kepentingan nasionalnya.
Ditubuhkan pada 1960, OPEC kini dianggotai Algeria, Congo, Equatorial Guinea, Gabon, Iran, Iraq, Kuwait, Libya, Nigeria, Arab Saudi dan Venezuela.
Bersama sekutunya dalam OPEC+, termasuk Rusia, kumpulan itu menyelaras pengeluaran minyak bagi mempengaruhi bekalan global dan menstabilkan harga.
Sebelum keluar, UAE adalah antara pengeluar minyak utama dalam kumpulan itu, dengan pengeluaran sekitar empat juta tong sehari.
Keretakan dalam kesatuan OPEC?
Samirul menyifatkan pengunduran UAE sebagai petanda wujudnya ‘keretakan lebih mendalam’ dalam kerangka OPEC.
“UAE bukan pengeluar kecil. Ia pemain utama Teluk dengan cita-cita untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran. Keputusannya untuk keluar menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap had pengeluaran serta keinginan mendapatkan ruang dasar yang lebih fleksibel,” katanya.
Beliau berkata kekuatan OPEC bergantung kepada disiplin kolektif ahlinya.
“Apabila sebuah anggota utama memutuskan strategi tenaga nasionalnya lebih baik digerakkan di luar kartel itu, ia melemahkan persepsi terhadap kesatuan OPEC,” katanya sambil menambah keadaan itu juga boleh menjejaskan keyakinan pasaran.
Ketidaktentuan dijangka berterusan
Samirul berkata, pasaran pada awalnya mungkin melihat pengunduran UAE sebagai faktor yang berpotensi menambah bekalan. Namun, kesan struktur yang lebih serius boleh berlaku sekiranya OPEC semakin kurang berupaya menyelaras pengeluaran.
Katanya, keadaan itu boleh membawa kepada turun naik harga minyak.
“Bagi Malaysia, perkara ini penting kerana ketidaktentuan harga minyak memberi kesan kepada kos bahan api, kos pengangkutan, margin perniagaan, jangkaan inflasi dan pendedahan kerajaan kepada subsidi.”
Beliau berkata, perniagaan dan pengguna akan turut merasai kesan rantaian itu, dengan pengusaha pengangkutan, pengilang dan isi rumah semuanya terdedah kepada perubahan harga bahan api.
Lebih banyak negara bakal keluar OPEC?
Samirul memberi amaran bahawa pasaran minyak global boleh menjadi semakin berpecah jika lebih banyak negara mengikuti langkah UAE.
“Daripada satu blok pengeluar yang menyelaras bekalan, kita mungkin melihat lebih banyak strategi pengeluaran ditentukan di peringkat nasional.
“Ini boleh meningkatkan persaingan, tetapi pada masa sama mengurangkan kebolehramalan,” katanya.
Beliau menggesa Malaysia memperkukuh daya tahan negara menerusi strategi tenaga yang ‘fleksibel, berpandangan jauh dan mampu menyerap kejutan’.
Tak beri kesan besar
Seorang lagi ahli ekonomi pula berpandangan pengunduran UAE itu tidak mungkin memberi kesan besar kepada Malaysia, sama ada dalam jangka pendek mahupun jangka panjang.
Renato Lima de Oliveira berkata, kemunculan pengeluar bukan OPEC seperti Amerika Syarikat dan Brazil sudah banyak melemahkan pengaruh gabungan itu dalam pasaran.
“Perkara ini penting kepada OPEC kerana ia menunjukkan insentif untuk kekal dalam kartel itu semakin rendah. Namun dari segi kesan harga kepada Malaysia, ia tidak begitu besar kerana
Malaysia bukan anggota OPEC dan bukan pengeluar minyak utama,” katanya.
Lima de Oliveira berkata, disiplin kolektif OPEC selama ini membantu mengekalkan harga minyak pada paras tinggi.
Katany UAE kini bebas meningkatkan pengeluaran, sekali gus berpotensi menurunkan harga minyak global susulan tindakannya keluar gabungan itu.
“Ketika dunia mempercepat peralihan tenaga, peranan minyak dalam ekonomi global dijangka mengalami penurunan secara struktur,” katanya.
“Dengan permintaan terhadap minyak yang berkemungkinan semakin merosot, kerangka OPEC dan penyelarasan kuota pengeluaran mungkin menjadi semakin sukar untuk dikekalkan pada masa depan.”