
Buku tersebut dilancarkan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini.
Adun Seri Delima RSN Rayer berkata buku “DAP Bahaya Kepada Melayu-Islam di Malaysia” perlu diharamkan kerana mempunyai niat tersembunyi dan berbahaya.
“Buku ini hanya akan menyemai kebencian terhadap DAP dan pemimpinnya, mendedahkan DAP dan pemimpinnya kepada risiko diserang di majlis dan acara awam,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Rayer berkata buku itu menghasut kebencian dalam kalangan rakyat yang cintakan keamanan dan akan menjejaskan perpaduan yang dicapai selama ini.
“Saya menulis surat rayuan peribadi ini kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk bertindak dengan segera tanpa rasa takut atau pilih kasih terhadap mereka yang bertanggungjawab bagi penerbitan buku ini.”
Rayer membuat laporan polis pada Ahad lepas meminta penerbit buku itu disiasat.
“Buku ini ditulis dengan niat jahat untuk menghasut kebencian dalam kalangan rakyat dan memburukkan keadaan masyarakat.
“Kami baru-baru ini turut menyaksikan insiden yang mengejutkan dan dahsyat seperti orang ditampar tanpa sebarang provokasi.”
Rayer berkata buku itu melanggar undang-undang percetakan negara dengan menyiarkan cerita palsu dan tidak mengandungi nama pencetak dan penerbit.
Baru-baru ini, Annuar menaja pertandingan esei mengapa Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang rasis.
Hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 ditawarkan kepada pemenang pertandingan.
Ia menarik kira-kira 1,200 penyertaan dalam pelbagai kategori seperti blog, video dan grafik.
Sekumpulan penulis yang tidak mahu nama mereka disiar, menerima hadiah utama RM10,000.
Annuar menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Sebahagian besar pemenang hanya menghantar wakil bagi pihak mereka.