Isu FGV: Perkasa saran Isa Samad cuti sementara

Isu FGV: Perkasa saran Isa Samad cuti sementara

Presiden Perkasa itu berkata, cadangan itu sejajar tindakan Lembaga Pengarah FGV mengarahkan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad bercuti serta-merta, semalam.

ibrahim-ali_isa-samad_600
KUALA LUMPUR:
Presiden Perkasa hari ini menyarankan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad turut bercuti sementara daripada jawatan pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

Datuk Ibrahim Ali berkata, cadangan itu sejajar tindakan Lembaga Pengarah FGV mengarahkan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad bercuti serta-merta, semalam.

Beliau memberi contoh isu membabitkan Majlis Amanah Rakyat (Mara), di mana Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa digantung tugas pada 31 Januari lalu, atas dakwaan menggunakan dana Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Pelaburan Mara Berhad (PMB) bagi menaja The Red Warriors.

“Saya ingin mencadangkan Isa Samad bercuti sepanjang penyiasatan ini dibuat, mesti kedua-dua pihak. Datuk Zakaria Arshad bercuti, Isa Samad pun bercuti,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Perkasa hari ini.

Semalam, Lembaga Pengarah FGV mengarahkan Zakaria bercuti serta-merta, susulan siasatan tunggakan bayaran oleh sebuah syarikat Afghanistan bernama Safitex kepada Delima Oil Products Sdn Bhd, anak syarikat FGV.

Ibrahim menyifatkan isu FGV itu memalukan kerana ia membabitkan wang pemegang saham, termasuk peneroka Felda.

“Ini ratusan juta (ringgit) membabitkan peneroka-peneroka yang berhempas pulas di bawah matahari terik, di bawah ribut, dalam hutan belantara, mereka membuka tanah rancangan.

“Dan ada (yang mengeluarkan) simpanan (untuk) melabur dalam FGV yang diberi jaminan, tetapi malangnya kita dapati harapkan pegar, pegar makan padi,” tegasnya.

Beliau turut mencadangkan penubuhan sebuah pasukan penyiasatan berwibawa melibatkan Felda yang bukan sahaja menyiasat apa yang berlaku, tetapi mengambil tindakan drastik bagi menyelamatkan FGV.

“Kita dah bosan dengar kenyataan segala-galanya tak ada masalah, okey, berkembang maju, tuduhan tidak betul dan fitnah, tetapi bila sampai masanya meletup,” katanya.

Bos FGV enggan letak jawatan, diarah bercuti

FGV jalankan audit dalaman, Isa alu-alukan SPRM

Mara gantung Annuar Musa

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.