
Fakhrul Iman Zainudin dicadang sertai program khas bagi pelajar tahfiz untuk memperdalami bidang syariah, dalam pertemuan dengan Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki, hari ini.
Asyraf berkata beliau amat teruja atas pencapaian Fakhrul, yang pergi ke pejabatnya untuk meneroka peluang pembiayaan pelajaran Mara.
“Saya sempat berkongsi pengalaman saya dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam sebelum terlibat politik, agar Fakhrul lebih terbuka mindanya supaya beliau tidak hanya melihat bidang syariah tetapi perluaskan skop kepada bidang kepakaran kewangan syariah yang diperlukan negara masa depan.
“Apatah lagi Malaysia terkenal sebagai negara peneraju industri perbankan dan kewangan Islam global,” katanya di Facebook.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Telok Kemang di Negeri Sembilan itu mendapat keputusan cemerlang dalam SPM 2025. Fakhrul bertemu Asyraf di ibu pejabat Umno bersama ibu dan bapanya, seorang peniaga yang dikenali dalam kalangan pelanggan sebagai ‘Abang Din Goreng Pisang’.
Asyraf menegaskan bahawa nasib seseorang hanya boleh diubah dengan ilmu.
“Satu hari nanti bila Fakhrul berjaya nanti, jangan lupa ayah dan mak yang memerah keringat hanya dengan hasil jualan pisang goreng membesarkan Fakhrul,” katanya.