DAP nafi pernah bantah bazar Ramadan di Kluang

Liew-Chin-Tong-bazarPETALING JAYA: DAP hari ini menafikan dakwaan seorang timbalan menteri yang parti itu pernah membantah tapak bazar Ramadan di Kluang yang baru-baru ini menyaksikan beberapa petugas diusir ketika mahu mengedarkan buah kurma kepada orang ramai.

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong menolak dakwaan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim yang berkata tindakan beberapa pemuda di bazar itu mengusir Liew dan petugas DAP lain pada Sabtu lalu mempunyai sejarahnya sendiri.

Razali memberitahu FMT, ia kerana DAP pernah membantah kehadiran penjaja di kawasan itu 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, Liew berkata pemeriksaannya mendapati tidak berlaku sebarang protes seperti yang didakwa.

“Kami tidak pernah cuba mengusir sesiapa. Ia bukan bidang kuasa kami.

“DAP tidak pernah meminta sesiapa untuk berpindah. Saya sudah periksa dan ia tidak berlaku,” katanya kepada FMT.

Liew bagaimanapun berkata terdapat beberapa pemilik premis perniagaan di kawasan itu yang tidak senang dengan bazar itu, “tetapi DAP tidak pernah menuntut ia ditutup”.

Semalam, Razali memetik seorang pemimpin Umno tempatan sebagai berkata kemarahan terhadap DAP adalah disebabkan tindakan parti itu yang membantah bazar tersebut pada 2007.

“Peristiwa itu masih di fikiran mereka. Sebab itu kejadian tempoh hari berlaku di Kluang dan bukan di tempat lain. Kita tidak boleh salahkan sesiapa. Kalau kita provokasi seseorang mesti akan ada tindak balas,” kata ahli Parlimen Muar itu.

Sabtu lepas, Liew dan beberapa petugas dari Pakatan Harapan dihalang daripada mengedar kurma di sebuah bazar Ramadan di Kluang.

Rakaman video menunjukkan sekumpulan pemuda bertindak kasar sambil cuba menghalang Liew memasuki bazar itu. Liew dan ketua PPBM Klang, Radzali Mohd Noor kemudiannya membuat laporan polis.

Polis menahan 2 lelaki yang kini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 kerana ugutan jenayah.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/06/12/umno-disuruh-tutup-10-tahun-lalu-peniaga-kluang-masih-marahkan-dap/