Remaja didera sehingga mati otak mahu jadi komposer terkenal

T-NhaveenGEORGE TOWN: Remaja berusia 18 tahun yang didakwa diseksa sekumpulan pemuda sehingga tahap mati otak Jumaat lalu bercita-cita menjadi komposer seperti ahli muzik terkenal India, AR Rahman.

Ibu saudara T Nhaveen sepatutnya dia pergi ke Kuala Lumpur semalam untuk mendaftar di sebuah kolej dalam kursus penggubahan lagu.

“Dia sukakan muzik. Dia bekerja sebagai promoter selepas SPM untuk mengumpul duit bagi menyambung pelajarannya di KL.

“Nhaveen sangat mesra dan ceria. Saya bercakap dengannya minggu lepas dan dia mahu datang ke tempat saya untuk makan kari ayam.

“Tetapi melihat keadaannya sekarang, saya tidak pasti jika dia akan pulih seperti sedia kala,” katanya ditemui di Hospital Pulau Pinang semalam.

Nhaveen dan kawan rapatnya, T Previin, 19, bekerja sebagai promoter di bahagian pakaian lelaki di sebuah pusat membeli belah di Bayan Lepas selepas SPM.

Nhaveen diserang 6 lelaki yang memukulnya berulang kali dengan topi keledar, sebelum membawanya ke padang berhampiran rumahnya di Taman Tun Sardon, Gelugor, di mana mereka terus menyerang dan menderanya dengan teruk, menurut rakannya Previin pada Jumaat malam.

Previin yang bersamanya turut cedera parah apabila tulang pipinya hancur akibat serangan tersebut.

Nhaveen diisytiharkan “mati otak” di Hospital Pulau Pinang manakala Previin menerima rawatan di hospital yang sama.

Nhaveen cedera di kepala, pinggul dan duburnya. Terdapat juga kesan terbakar di belakangnya.

Doktor yang merawatnya berkata dubur Nhaveen koyak teruk mungkin disebabkan tusukan objek tumpul.

Polis menahan 5 lelaki berusia antara 16 hingga 18 atas dakwaan merusuh.

Dipujuk ahli kongsi gelap

Mempunyai perwatakan “lembut” bukan saja menjadi penyebab Nhaveen dipukul dan diseksa, tetapi juga keengganannya menyertai kumpulan kongsi gelap.

Seorang kawan rapatnya berkata kumpulan yang menyerang Nhaveen malam itu mahu beliau menyertai “kumpulan gangster”.

Kawannya berkata kumpulan haram itu sedang merekrut ahli baru yang terdiri daripada pelajar sekolah.

Beliau berkata suspek yang terlibat adalah “kenalan” Nhaveen dan Previin.

“Tetapi Nhaveen dan Previin enggan menyertai mereka. Mereka mahu bekerja dan menjalani kehidupan normal,” kata kawan rapatnya yang enggan dikenali.

Ahli keluarganya berkata tidak adil jika kes ini dikategorikan sebagai kes buli, sebaliknya ia perlu dilihat sebagai kes bunuh atau cubaan membunuh.

“Pasti, dia akan dipanggil pihak sekolah, tetapi dia sudah lama meninggalkan sekolah.

“Ini adalah dunia orang dewasa. Mengapa orang masih memanggilnya kes buli?”

Nhaveen seorang penghidap sawan (epilepsi) dan beliau tidak melawan apabila dipukul.

“Previin beritahu kami Nhaveen diserang kejam oleh kumpulan itu menggunakan topi keledar, tetapi dia tidak melawan sama sekali.

“Nhaveen juga meminta Previin menghentikan pukulan mereka,” kata ibu saudara Nhaveen.

Ibu saudaranya menambah, dia mungkin mengalami episod sawan semasa kejadian itu berlaku.

Beliau berkata Nhaveen memakan ubat sawan kerana dia mempunyai tumor kecil di dalam otak.

‘Datang ambil anak anda’

Serangan itu terbongkar selepas salah seorang penyerang menghubungi ibu Nhaveen.

“Mereka memberitahu ibunya: ‘Datang sini ambil anak kamu’. Ibu Nhaveen takut untuk keluar meminta abangnya pergi ke tempat kejadian.

“Bapa saudara Nhaveen terkejut apabila melihat Nhaveen terbaring tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah di Jalan Kaki Bukit,” kata saudaranya.

Penyerang tidak berhenti di situ, malah mereka menunggu di luar pangsapuri Taman Tun Sardon untuk mendapatkan kakak mangsa berusia 16 tahun.

“Mereka terus menjerit, ‘kamu pula lepas ini’ sebagai amaran kepada kakak Nhaveen. Kakaknya duduk di dalam rumah sehingga salah satu saudaranya datang menyelamatkannya.

“Dia terkejut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Chuah Ghee Lye berjanji menyiasat perkara itu dengan telus.

“Adalah terlalu awal untuk memberi kenyataan buat masa sekarang. Biarlah pihak kami menyiasat dan jangan menyebarkan maklumat yang kita tidak pasti tentangnya,” katanya kepada FMT.

Remaja lelaki ‘mati otak’ selepas dipukul, diliwat, dilecurkan