5 penuntut UPNM didakwa membunuh pegawai kadet

Zulfarhan-Osman_polis_600

KUALA LUMPUR: Lima pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hari ini dituduh membunuh pegawai kadet Zulfarhan Osman Zulkarnian manakala seorang lagi dituduh bersubahat.

Mereka yang dituduh membunuh ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Azamuddin Md Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri.

Abdoul Hakeem Mohd Ali dituduh bersubahat dengan 5 orang itu.

Keenam tertuduh, semua berusia 21 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu dalam satu bilik di blok asrama Jebat di universiti yang terletak di Cheras pada 22 Mei.

Tiada pengakuan diambil ketika mereka dihadapkan ke Majistret Siti Radziah Kamarudin. Bilik sidang itu dipenuhi ahli keluarga tertuduh.

Kesalahan yang membawa hukuman mati didengar di depan hakim Mahkamah Tinggi.

Siti Radziah, bagaimanapun, menetapkan 14 Ogos untuk sebutan semula kes itu.

Di mahkamah sama, 19 orang, termasuk 6 orang yang didakwa membunuh dan bersubahat itu, minta dibicarakan semula atas tuduhan menyerang si mati selama 2 hari untuk mendapatkan pengakuan.

Siti Radziah menawarkan mereka diikat jamin sebanyak RM7,000 dan sebutan semula kes mereka ditetapkan pada 17 Julai.

Peguam kerajaan Nordin Ismail berkata 13 suspek lain akan dibebaskan hari ini tetapi akan menjadi saksi pihak pendakwa.

Pada mulanya, polis menahan 36 pelajar berhubung kematian Zulfarhan pada 2 Jun.

Mereka ditahan di kampus UPNM di kem tentera Sungai Besi.

Tiga puluh dua pelajar itu dari UPNM manakala 4 dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten). Mereka berusia antara 20 dan 21 tahun.

Pelajar Uniten itu kemudiannya dibebaskan selepas ditahan reman selama 5 hari.

Zulfarhan ditemui dengan tanda lecur dan lebam di sebuah apartmen di Sepang oleh kawannya sekitar 8.00 malam pada 1 Jun.

Beliau dilaporkan masih hidup ketika kawannya menelefon ambulans untuk bergegas ke hospital.

Zulfarhan dipercayai mangsa buli. Dia diikat, dipukul dan dilecur dengan seterika.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata para pelaku tidak akan terkecuali daripada hukuman.

“Tiada siapa yang akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika didapati bersalah,” katanya di Twitter.

36 ditahan dalam siasatan kematian pelajar universiti pertahanan