KPT sedia tempatkan pelajar Malaysia terjejas di IPT tempatan

KPT sedia tempatkan pelajar Malaysia terjejas di IPT tempatan

Langkah itu bukan perkara baharu sebaliknya pernah dilaksanakan ketika konflik Iran–Iraq dan melibatkan pelajar Malaysia di Kuwait.

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir dalam program Townhall Kembara Karisma Pemimpin Muda Madani Zon Selatan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Jasin. (Gambar Bernama)
JASIN:
Kerajaan bersikap terbuka dan bersedia menempatkan pelajar Malaysia yang berdepan situasi terkandas atau terjejas pengajian di negara terlibat dalam krisis Asia Barat ke institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara jika keadaan memerlukan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir, berkata perkara itu antara langkah kesiapsiagaan kementerian dan jaminan memastikan pengajian pelajar tidak terjejas termasuk mereka yang baru mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke negara terbabit.

“Sekiranya berlaku maka ruang akan diberikan kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran di sini (IPT dalam Malaysia), yang bersesuaian dengan keputusan, kursus dan latar belakang pendidikan mereka kerana persefahaman di peringkat universiti itu ada.

“Biasanya kita akan bincangkan kursus yang boleh dipindahkan kredit berdasarkan garis panduan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) supaya pelajar dapat meneruskan pengajian tanpa perlu mengulang sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Townhall Kembara Karisma Pemimpin Muda Madani Zon Selatan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Jasin.

Beliau berkata, langkah membawa pulang pelajar dan menempatkan mereka di universiti tempatan bukan perkara baharu, sebaliknya pernah dilaksanakan termasuk ketika konflik Iran–Iraq serta melibatkan pelajar Malaysia di Kuwait.

“Setakat ini belum ada angka rasmi pelajar yang terkesan (akibat krisis di Asia Barat) kerana universiti di negara terbabit masih berfungsi seperti biasa malah jumlahnya agak kecil berbanding pelajar di negara lain seperti di Jordan atau Mesir.

“Pun begitu kementerian akan bersiap sedia dan menunggu maklum balas daripada pelajar dan institusi pengajian sebelum sebarang tindakan lanjut diambil,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.