
Naib Canselor UPSI Md Amin Md Taff berkata, idea Sekolah Pergunungan itu hasil perbincangan bersama Presiden Persatuan Malim Gunung Malaysia serta bomba, yang menyatakan keperluan sebuah pusat latihan serta penyelidikan berfokuskan pendakian dan pergunungan.
Katanya, hasrat itu juga khusus menyahut seruan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir agar universiti prihatin terhadap isu masyarakat, seterusnya menjadi pusat pembelajaran sepanjang hayat.
“Sekolah Pergunungan ini akan dibuka kepada semua rakyat Malaysia dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
“Matlamat utamanya untuk memberikan pendedahan asas dan juga profesional dalam bidang pendakian, penyelidikan dan penyelamatan di pergunungan.”
Md Amin berkata, sekolah itu juga bertujuan meminimumkan insiden di pergunungan yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini, dengan dua fokus utama terhadap pembelajaran kemahiran dan penyelidikan.
Katanya, Sekolah Pergunungan itu akan menawarkan pelbagai kursus terkait industri pergunungan seperti kemahiran penyelidikan, mendaki, menyelamat, etika alam sekitar, sosioekonomi industri pendakian, interpretasi alam, pengurusan acara pendakian dan banyak lagi.
“Jenis kursus yang bakal ditawarkan adalah dari kursus jangka pendek, sijil profesional dan juga sijil akademik seperti diploma, ijazah sehinggalah peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PHD),” katanya.
Md Amin berkata, sekolah tersebut akan dikendalikan oleh Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan serta Adventure Leadership & Outdoor Recreation Academy UPSI.
Sekolah itu, katanya, akan bekerjasama erat dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), bomba, Jabatan Perhutanan serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Selain itu, kerjasama turut membabitkan Persatuan Malim Gunung Malaysia, Malim Gunung Perhutanan dan pelbagai agensi antarabangsa seperti Outward Bound, National Outdoor Leadership School dan Bradford Woods.
Md Amin berkata, tenaga pengajar sekolah itu terdiri pakar daripada industri rekreasi luar di negara ini dan antarabangsa serta pensyarah institusi pengajian tinggi dalam bidang yang berkaitan.