
Spesies dikenali sebagai tapirus indicus itu diklasifikasikan sebagai terancam dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), dengan kurang daripada 2,500 tapir dewasa dianggarkan masih hidup di habitat liar.
Ketua Pegawai Kelestarian Guthrie, Rashyid Redza Anwarudin, berkata pemuliharaan spesies itu memerlukan pendekatan lebih holistik menerusi kerjasama kerajaan, sektor swasta dan masyarakat.
“Tapir Malaya sangat unik dan penting kepada biodiversiti negara, namun ia menghadapi persekitaran yang semakin mencabar dan perlu ditangani melalui tindakan kolektif serta terancang,” katanya sempena sambutan Hari Tapir Sedunia baru-baru ini.
Beliau berkata, kerjasama dengan Perhilitan membuka ruang menggabungkan kepakaran teknikal agensi itu dengan keupayaan penglibatan masyarakat serta platform dimiliki Guthrie.
Sehingga 2025, syarikat itu memulihara dan memulihkan lebih 51,000 hektar tanah merentasi kawasan operasinya bagi menyokong habitat kritikal serta koridor ekologi hidupan liar termasuk tapir.
Usaha itu sebahagian sasaran syarikat untuk memulihara lebih 100,000 hektar kawasan menjelang 2030 di Malaysia, Indonesia, Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon.
Bagi memperkukuh pemantauan biodiversiti, Guthrie turut memasang 19 perangkap kamera di kawasan ladangnya tahun lalu yang berjaya merekodkan kehadiran spesies jarang ditemui dan terancam termasuk Tapir Malaya.
Melalui Unit Pemuliharaan dan Biodiversiti, Guthrie juga bercadang menyokong Pelan Tindakan Pemuliharaan Tapir Malaya (MATCAP), khususnya aspek komunikasi, pendidikan, penyertaan dan kesedaran awam.
Antara fokus kerjasama dicadangkan ialah perlindungan habitat dan koridor ekologi, pelaksanaan inisiatif pemuliharaan lapangan, langkah mitigasi bagi mengurangkan risiko terhadap populasi tapir serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti dan pengurusan ladang.
Kedua-dua pihak berkata kerjasama itu dijangka diperkukuh menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) rasmi pada masa depan.