3 gajah dipindah ke Jepun kekal milik Zoo Taiping

3 gajah dipindah ke Jepun kekal milik Zoo Taiping

Exco Perak Sandrea Ng Shy Ching kata pemindahan tiga gajah itu ke zoo Jepun bukan urus niaga komersial dan bukan penjualan.

Gajah si kelat
Kelat, antara tiga gajah yang dipindahkan dari Zoo Taiping ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun. (Gambar TikTok)
IPOH:
Tiga gajah Dara, Amoi dan Kelat yang dipindahkan ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun, kekal sebagai milik Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) dan tidak melibatkan sebarang pemindahan hak milik atau urus niaga jual beli.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata pemindahan tiga ekor gajah itu bukan urus niaga komersial dan bukan penjualan seperti yang didakwa.

“… sebaliknya ia sebahagian kerjasama rasmi antara Zoo Taiping & Night Safari dan Tennoji Zoo Osaka di bawah konsep sister zoo, yang memfokuskan kepada pemuliharaan, perkongsian kepakaran dan peningkatan standard penjagaan haiwan,” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja pada persidangan DUN, hari ini.

Sandrea berkata di bawah kerjasama itu tanggungjawab kebajikan gajah adalah jelas dan terikat, termasuk penyediaan habitat yang sesuai, pemakanan dan penjagaan kesihatan veterinar secara berkala, serta pelaksanaan sistem keselamatan dan pelan kecemasan.

Beliau berkata pihak zoo di Osaka juga perlu menyediakan laporan berkala, dan pelaksanaan ini dipantau melalui mekanisme bersama.

Dalam konteks konservasi pula, beliau berkata penempatan dan pertukaran haiwan dibuat berdasarkan kesesuaian fasiliti, kepakaran serta keperluan jangka panjang spesies berkenaan.

“Yang penting adalah kebajikan haiwan itu sendiri dipastikan melalui sistem yang jelas dan dipatuhi. Dalam kes ini, keseluruhan proses telah dilaksanakan secara terancang sejak 2021 dan melalui pelbagai peringkat kelulusan.

“Ini termasuk kelulusan daripada Perhilitan, permit eksport, serta pengesahan di bawah CITES (Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora) oleh pihak Malaysia dan Jepun,” katanya sambil berkata kerjasama itu selaras dengan National Elephant Conservation Action Plan (NECAP), serta tertakluk kepada Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Dalam perkembangan lain, Sandrea berkongsi mengenai projek perumahan D’aman Residensi, Meru Raya yang telah memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada 16 April lepas, selepas terbengkalai selama lapan tahun.

Sandrea berkata dengan perolehan CCC itu, projek berkenaan kini berada pada fasa akhir sebelum pembeli dapat mengambil kunci dan seterusnya menduduki kediaman masing-masing, dan penyerahan milikan kosong dijangka dilaksanakan pada Mei ini.

Terdahulu, pembinaan projek perumahan yang termasuk dalam senarai projek sakit itu, disambung semula pada 2024 selepas terbengkalai selama tiga tahun melibatkan kira-kira 60 pemilik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.